KUCHING: Tiga sekolah rendah di kawasan pedalaman DUN Ngemah memerlukan perhatian segera kerajaan susulan kejadian banjir berulang setiap kali hujan lebat sekali gus menjejaskan keselamatan serta kelancaran sesi persekolahan.
ADUN Ngemah, Anyi Jana berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jagau, SK Nanga Nirok dan SK Nanga Balingiau dilaporkan kerap terjejas sehingga menjejaskan sesi pengajaran, keselamatan murid serta operasi harian sekolah.
“Selain kerosakan harta benda, banjir turut memaksa kerja baik pulih dilakukan secara berulang saban tahun” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan DUN Sarawak ke-19, petang tadi.
Tambah Anyi, langkah paling berkesan ialah memindahkan ketiga-tiga sekolah itu ke tapak baharu yang lebih sesuai dan bebas risiko banjir.
Katanya, pemindahan tersebut dapat mengelakkan pembaziran peruntukan yang sering digunakan untuk baik pulih kerosakan akibat banjir.
“Dana yang disalurkan untuk kerja pembaikan berulang lebih wajar digunakan bagi memperkukuh program pendidikan, kemudahan pembelajaran, dan pembangunan pelajar di kawasan tersebut.
“Justeru, diharapkan agar isu ini diberi perhatian segera agar murid dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan stabil tanpa gangguan bencana tahunan” katanya.
Dalam pada itu, kata Anyi, DUN Ngemah khususnya Daerah Kanowit, memerlukan sebuah pusat kemahiran bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta membuka lebih banyak peluang pendidikan teknikal kepada belia tempatan.
Beliau berkata, penubuhan pusat kemahiran di kawasan berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengajian pelajar yang ingin melanjutkan kemahiran, malah mampu membawa limpahan pembangunan baharu ke Kanowit dan kawasan sekitarnya.
“Pada masa ini, tapak lama SMK Datuk Haji Abdul Rahman Yakub (SEDAYA) di DUN Ngemah dilaporkan kosong dan tidak dimanfaatkan.
“Justeru, adalah dicadangkan agar kerajaan memanfaatkan tapak tersebut untuk tujuan pendidikan dengan menubuhkan sebuah pusat kemahiran milik Kerajaan Sarawak bagi Daerah Kanowit dan kawasan tengah Sarawak.
“Pusat berkenaan dicadang menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3 bagi memenuhi keperluan industri serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
“Sekiranya direalisasikan, pembangunan pusat kemahiran itu diyakini mampu merancakkan sektor pendidikan dan memperkukuh pembangunan modal insan di DUN Ngemah serta Daerah Kanowit secara keseluruhan” katanya.



