ARTIKEL

Andmesh Kamaleng gamat Stadium Perpaduan malam ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

STADIUM Perpaduan, Petra Jaya bakal menjadi tumpuan ribuan peminat muzik serantau apabila penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng, mengadakan konsert penuh sulungnya di Sarawak menerusi persembahan bertajuk A Night With Andmesh Kamaleng yang akan berlangsung malam ini.

Kehadiran penyanyi bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja mewarnai dunia hiburan tempatan, malah menaikkan lagi nama Sarawak sebagai destinasi pilihan penganjuran acara berskala besar.

Konsert ini dijangka menarik lebih 4,000 penonton dari seluruh Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Sambutan besar-besaran tersebut memperlihatkan minat mendalam masyarakat  terhadap acara muzik secara langsung serta keyakinan mereka terhadap kemampuan Sarawak menganjurkan konsert bertaraf antarabangsa.

Selain menjadi medan hiburan, acara seumpama ini turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan industri kreatif negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert tersebut membuktikan bahawa Sarawak berada pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai hab seni dan acara di rantau ini.

“Kehadiran artis serantau seperti Andmesh mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi seni dan hiburan.

“Penganjuran acara sebegini juga membuka peluang besar kepada penggiat industri kreatif tempatan selaras dengan usaha kerajaan membangunkan Sarawak sebagai hab persembahan dan acara bertaraf besar,” katanya pada sidang media konsert tersebut, di Tingkat 17, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) pada 21 November lalu.

Menurutnya, usaha kerajaan membangunkan Sarawak sebagai pusat persembahan berskala besar kini semakin mendapat perhatian pemain industri serantau selepas beberapa kejayaan penganjuran acara sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut mengumumkan bahawa konsert ini akan menampilkan segmen kejutan eksklusif melalui kemunculan tiga artis misteri dari Indonesia yang bakal bergandingan bersama Andmesh di pentas.

Beliau tidak mendedahkan identiti mereka, namun memberi bayangan bahawa artis tersebut terdiri daripada penyanyi muda yang sedang meningkat naik dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat muzik di negara jiran itu.

Elemen kejutan tersebut dijangka menambah keterujaan penonton yang hadir malam ini.

Sementara itu, penganjur konsert, Mohd Afi q Wahed atau lebih dikenali sebagai Afick Wazai, memaklumkan bahawa sambutan terhadap jualan tiket amat menggalakkan apabila kira-kira 3,500 tiket telah terjual sehingga kini.

Menurutnya, satu bahagian tempat duduk iaitu Seksyen Biru atau Nyaman terpaksa ditutup selepas mencapai kapasiti, manakala seksyen lain masih ditawarkan kepada peminat dalam jumlah terhad.

Beliau percaya jumlah tiket yang berbaki akan habis sepenuhnya menjelang konsert bermula, mengambil kira gelombang minat peminat yang semakin meningkat sejak minggu lalu.

Konsert yang dijadualkan berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu bakal menyajikan rangkaian lagu popular nyanyian Andmesh, yang melonjakkan namanya di seluruh Nusantara.

Antara karya yang dijangka menjadi sorotan termasuk Cinta Luar Biasa, Hanya Rindu, Nyaman, Jangan Rubah Takdirku dan Anugerah Terindah.

Pada masa yang sama, konsert ini dijangka akan memberikan sentuhan segar melalui susunan muzik baharu dan konsep persembahan yang lebih intim.

Suasana yang dijanjikan lebih emosional dan dekat dengan penonton pastinya menjadi daya tarikan utama bagi mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya penyanyi berbakat besar itu.

Andmesh Kamaleng, yang berasal dari Alor, Indonesia, mula mendapat perhatian selepas menjuarai pertandingan Rising Star Indonesia musim kedua.

Kejayaannya itu membuka jalan kepada kerjaya profesional yang sehingga kini terus berkembang pesat, menjadikannya antara vokalis lelaki paling berpengaruh di Indonesia.

Lagu-lagunya bukan sahaja berjaya bertahan dalam Carta Billboard Indonesia, malah meraih pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah AMI bagi Penyanyi Solo Lelaki Pop Terbaik 2019, lagu Hanya Rindu yang diiktiraf sebagai Lagu Terbaik Billboard Indonesia 2020, serta Anugerah AMI bagi Album Pop Terbaik 2020.

Keupayaan vokalnya yang lantang, penuh penghayatan dan kaya emosi menjadi tarikan utama yang membuatkan peminatnya terus bertambah di seluruh rantau Asia Tenggara.

Konsert ini turut memberi ruang kepada artis tempatan melalui dua segmen utama yang melibatkan keseluruhan 10 artis dalam satu malam.

Bermula seawal jam 7.15 malam, prapersembahan akan menampilkan dua bakat tempatan iaitu Hasty dan Zah Amirul.

Seterusnya, persembahan pembukaan dari jam 8.00 malam hingga 9.00 malam akan menyaksikan empat artis dari Sarawak dan Sabah menghangatkan pentas, iaitu Hairie Francis, Ramles Walter, Gretchen Quirina dan Ryenald Guntabid, yang baru-baru ini merangkul gelaran Artis Baharu dan Vokal Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2025.

Penyertaan mereka bukan sahaja memeriahkan acara, malah mencerminkan usaha penganjur mengangkat bakat tempatan ke pentas lebih besar.

Orang ramai yang masih berminat mendapatkan tiket konsert boleh melayari laman web www.saratic.com untuk maklumat lanjut mengenai harga dan pilihan tempat duduk terakhir yang masih tersedia. Sidang media pengumuman konsert turut dihadiri Setiausaha Tetap MTCP, Datuk Sherrina Hussaini.

Dengan persiapan rapi, barisan artis yang mantap dan sokongan padu peminat, A Night With Andmesh Kamaleng dijangka muncul sebagai salah satu konsert paling hangat dan berimpak besar di Sarawak tahun ini.

Peminat pastinya menantikan detik untuk menyaksikan sendiri pesona vokal dan persembahan memukau penyanyi kesayangan ramai itu di pentas malam ini.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Ultras Bluewave bawa sorakan Hong Kong ke Kuching

KUCHING: Demi menyokong pasukan kesayangan, kira-kira 40 penyokong tegar Kitchee SC sanggup merentas lautan dari Hong Kong ke Kuching bagi menyaksikan aksi Liga Juara-Juara Asia

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan