ARTIKEL

ANEEMNUT AND CO bermula dengan KHIDMAT FOTOGRAFI percuma

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIAPA sangka majlis perkahwinan dijadikan sebagai inspirasi untuk memulakan perniagaan dalam bidang fotografi?

Pemilik studio Aneemnut And Co Nur Azatul Hanim Binti Jeffereen, 24, idea untuk berjinak dalam bidang fotografi ini bermula apabila dia menyediakan perkhidmatan sebagai perancang perkahwinan.

“Pada masa itu, saya dan Fakhrusy yang juga pembantu untuk merancang perkahwinan melihat cara fotografi yang menarik semasa perkahwinan ibu saudaranya.

“Semenjak itu, kami berbincang dan mula mengkaji penggunaan kamera di Youtube dan Google di samping bertanya kepada mereka yang menyediakan perkhidmatan fotografi.

“Setelah mengumpul wang dan memiliki sebuah kamera, kami membuat percubaan pertama dengan memberi perkhidmatan percuma kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadikan kami sebagai jurugambar mereka,” katanya kepada Suara Sarawak. 

Mengulas lanjut, katanya, mereka melakukan perkhidmatan itu dengan jurugambar tempatan yang dikenali sebagai Izat.

“Dengan tunjuk ajar yang diberikan olehnya, kami mula menawarkan harga permulaan serendah RM150 dan semakin banyak ilmu yang diperoleh, harga agak tinggi ditawarkan.

“Setelah itu, kami mula membuka studio fotografi pada 2022 dan menjadikan beberapa jurugambar tempatan seperti Mohd Luizman Wedding Photography dari Sarikei, Akew Emy Freelance and Wedding Photography dari Mukah dan Naiza Jhon Freelance Fotography yang juga berasal dari Mukah sebagai inspirasi,” jelasnya.

Nur Azatul Hanim yang lebih dikenali sebagai Aneem mendedahkan, mereka hanya mempelajari ilmu fotografi melalui kajian daripada Youtube dan Google. “Semakin rajin kita mengkaji dan mempelajari sesuatu perkara dengan teknologi di hujung jari pada masa ini, semakin banyak ilmu yang kita peroleh. “Di samping itu, kami juga menghadiri kursus bersemuka yang dianjurkan untuk mengasah kemahiran yang ada.

BIMBINGAN

“Pada masa sama, kami juga meminta pendapat dan bimbingan daripada jurugambar yang lain,” ujarnya.

Dedahnya, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan dan pelanggan bukan sahaja dari Mukah, malah dari Dalat, Oya, Sibu, Limbang dan Bintulu. 

Waktu kemuncak pelanggan menggunakan perkhidmatan ini adalah pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

“Saya membuka studio pada Hari Raya Aidiladha untuk memberi ruang kepada ahli keluarga yang tidak dapat berkumpul bersama keluarga semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah, dengan adanya bantuan rakan seperti Fakhrusy, Acong dan Harris, kami mampu menyediakan perkhidmatan ini dengan lancar,” katanya lagi.

Ujarnya, banyak cabaran yang dihadapi dalam menyediakan perkhidmatan ini dan ia tidak terbatas kepada pemasaran dan jualan sahaja, tetapi lebih luas merangkumi staf, kewangan dan perkhidmatan itu sendiri.

“Tiada perniagaan yang paling mudah melainkan ia dibuat secara hangat-hangat tahi ayam dan jangan pernah letakkan impian kita dalam diri pelanggan, tetapi letakkan impian perniagaan dalam diri kita sendiri,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pada tahun ini, studio mereka dibuka pada setiap Isnin hingga Sabtu dari 9.30 pagi hingga 9.30 malam untuk memberi ruang kepada mereka yang bekerja pada waktu siang dan dapat berkumpul pada waktu malam.

Selain fotografi, mereka juga menyediakan perkhidmatan perancang perkahwinan, ‘event decoration’, ‘fashion designer’ dan ‘tailoring’.

KHIDMAT

Harga bagi perkhidmatan bermula serendah RM80 untuk ‘couple photoshoot’ dengan maksimum tiga orang dan paling mahal dengan harga RM150 untuk lapan orang.

Jika terdapat tambahan ahli keluarga melebihi lapan orang, mereka akan mengenakan caj tambahan RM20 seorang, manakala bayi yang berumur satu bulan sehingga kanak-kanak 10 tahun dalam pertambahan tersebut adalah percuma.

Tambahnya, dia berharap perniagaannya dapat membantu golongan kurang berkemampuan bergambar di studio.

Justeru, dia berharap dirinya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda terutama pelajar kolej vokasional dan pelajar bidang kemahiran supaya mereka menjadikan kemahiran untuk memulakan perniagaan pada masa akan datang. 

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU