SHAH ALAM: Penyanyi popular Adira Suhaimi dan anak sulungnya, Anggrek Adenan, muncul juara program realiti Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) pada pentas akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan pasangan ibu dan anak berkenaan membawa pulang wang tunai RM30,000, emas, pakej penginapan, rakaman single dan trofi.

Adira menyertai program itu bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada Anggrek, 9, dalam industri hiburan.
Beliau turut melihat konsep pertandingan yang menilai aspek persembahan dan peranan pengurus sebagai satu keunikan program itu.
Sepanjang pertandingan, Anggrek disifatkan sebagai peserta yang cekal dan berani menyahut cabaran.
Pada konsert akhir, Anggrek menyampaikan lagu Aku Stacy secara solo dan berduet bersama Aisha Retno menerusi lagu Sutera.
Tempat kedua dimenangi Hussain dan pengurusnya Jamilulhayat, manakala Datuk Seri Vida dan Cik B di tempat ketiga.
A. Aida dan Azeva pula menduduki tempat keempat, diikuti Safura dan Kim Khairii di tempat kelima.
Adira dan Anggrek turut menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie berserta wang tunai RM10,000 seperti dipetik Bernama.




