IPOH: Seorang anggota polis maut manakala 10 lagi cedera apabila van Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabas dan merempuh penghadang besi di KM352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Tapah.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kejadian berlaku kira-kira 11.35 pagi.
Van jenis Maxus itu dipandu seorang anggota bersama 10 penumpang dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.
Siasatan awal mendapati tayar belakang sebelah kiri van dipercayai pecah secara tiba-tiba, lalu kenderaan hilang kawalan dan melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Beliau berkata beberapa penumpang tercampak keluar, dan seorang anggota berusia 26 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Empat anggota parah dibawa ke Hospital Slim River, manakala enam yang cedera ringan dirawat di Hospital Tapah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat seperti dilapor Bernama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-325 6140.




