ARTIKEL

Daniel Gooi Zi Sen | BERNAMA

Anjur bersama Sukan Sea: Pulau Pinang sokong usaha pembangunan sukan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEORGE TOWN: Keputusan Pulau Pinang yang bersetuju menerima tawaran menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027 adalah bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembangunan sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata selain itu, kerajaan negeri berpendapat dengan mengambil bahagian dalam penganjuran sukan tersebut, ia akan membantu dalam pembangunan sosial dan ekonomi termasuk sektor pelancongan.

Beliau berkata ia berikutan temasya sukan dwi-tahunan itu melibatkan penyertaan daripada negara ASEAN sekali gus dapat menarik kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya dari negara yang mengambil bahagian di samping pelancong domestik dan luar yang lain.

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mendapatkan maklum balas daripada negeri-negeri berhubung hasrat untuk menganjurkan temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 melalui surat bertarikh 21 Jun 2024.

“Dalam surat tersebut KBS turut menyatakan bahawa konsep penganjuran “whole-of-nation” di ambil untuk menjayakan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan melibatkan semua negeri, justeru sebagai usaha menyokong kepada pembangunan sukan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berminat untuk menjadi hos bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mengulas lanjut, Daniel berkata buat masa ini pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu acara sukan di negeri ini namun tidak memperincikan jenis sukan tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu akan diperhalusi semula bersama KBS dengan turut mengambil kira reaksi dan respons daripada negeri-negeri lain sebelum ia dimuktamadkan, tambah beliau.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu selepas Sarawak yang menyatakan minat untuk menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027.

Selepas Sarawak menyatakan kesediaan untuk berkongsi kos penganjuran bersama kerajaan Persekutuan dengan syarat acara perasmian temasya sukan dan sebahagian acara lain diadakan di Bumi Kenyalang, Pulau Pinang pula menyatakan hasrat untuk menganjurkan jenis-jenis sukan tertentu di negeri itu.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang menyediakan kertas kajian impak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

Pada 22 Mei 2022, Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029. — BERNAMA

BERITA LAIN

SUKMA XXII 2026: Mia berjaya raih emas

SELANGOR: Emylia Lynn Ghazali Zulfikar berjaya menghadiahkan pingat emas buat Kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026. Bintang Muay Thai yang terkenal dengan

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil