ARTIKEL

Anwar: Kerajaan tidak bertolak ansur terhadap penjenayah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap penjenayah yang dikatakan ‘berkeliaran’ sehingga memberi gambaran bahawa pihak berkuat kuasa lemah dalam menangani kegiatan mereka.

Mengambil contoh kes tiga penjenayah lelaki yang ditembak mati di Melaka baru-baru ini, beliau berkata kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) bahawa siasatan rapi dan telus (dilaksanakan), tiada tolak ansur. Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar berkata tindakan itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran tindakan oleh pihak polis, sambil menekankan bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang.

Anwar berkata prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus diterapkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi, sambil mengakui wujud budaya dalam kalangan sesetengah pihak cenderung membela individu yang mengaku terlibat dalam rasuah atas alasan kononnya memberi pendedahan.

Selain itu, beliau berkata perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk aspek keselamatan diri serta keluarga mereka, selaras dengan prinsip menggalakkan budaya berani melapor dalam kalangan warga penguatkuasaan dan masyarakat.

“Melindungi pemberi maklumat ini bukan sahaja bermakna mereka tidak diambil tindakan, tetapi juga keselamatan mereka dan keluarga mereka dikawal supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” kata beliau.

Menurut Anwar, menteri yang dipertanggungjawabkan sedang meneliti perkara berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta itu pada awal tahun depan bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme lebih jelas supaya perlindungan pemberi maklumat tidak terus disalahgunakan dan kekal berfungsi sebagai instrumen penting memperkukuh integriti negara.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata integriti merupakan asas utama keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan tanpa prinsip itu, kejayaan kerajaan mencapai nilai rampasan, lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion tidak mungkin dapat direalisasikan.

“Ini kali pertama dalam sejarah negara dan memberi gambaran bahawa sebelum ini nampak ada kelonggaran, ada kelompongan. Mana mungkin dalam satu negara kita mampu mengutip RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan lain-lain,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion, PDRM hampir RM4 bilion, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) lebih RM2.5 bilion, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencatat rampasan dan kutipan penalti berjumlah RM1 bilion.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan oleh agensi berkaitan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meskipun kerajaan mengakui masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki.

Mengulas persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasaan khususnya PDRM, Anwar berkata adalah tidak adil untuk menilai secara menyeluruh sedangkan pasukan itu telah menunjukkan keupayaan melalui tindakan berasaskan integriti dalam memerangi jenayah dan penyeludupan.– BERNAMA

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil