Anyaman rotan lebih sistematik

MIRI: Seramai 10 peserta Penan menyertai Makmal Pengeluaran Produk Baru Kraf Jahitan Beg Anyaman Rotan bermula 12 hingga 15 November di Long Bedian, Baram di sini.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan Malaysia Ainu Sham Ramli berkata, porgram anjuran Kraftangan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu bertujuan mewujudkan kelompok komuniti baharu jahitan beg selain komuniti anyaman sedia ada.

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kemahiran usahawan atau komuniti dalam penghasilan produk tempatan yang lebih berkualiti. Tambahnya, melalui aktiviti ini juga, komuniti di pedalaman terutama kaum Penan yang sememangnya sinonim dengan pembuatan anyaman rotan dapat didedahkan dengan teknik pembuatan yang lebih sistematik.

“Peserta dapat meningkatkan kemahiran usahawan kraf tangan dalam menghasilkan produk lebih baik dan berkualiti tinggi.

“Bukan itu sahaja, program ini dapat memberikan pendedahan teknik pembuatan beg daripada anyaman rotan yang lebih sistematik kepada peserta,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian majis program itu, kelmarin.

Sepanjang makmal berlangsung, peserta didedahkan dengan pembangunan produk anyaman rotan dalam kategori produk pelancongan iaitu beg mesyuarat dan Mulu Folder (beg dokumen). Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraf Tangan Malaysia Mohd Yusof Abd Rani dan Pengarah Kraf Tangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip turut hadir.