ARTIKEL

Apabila AI jadi jurugambar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEJAK kebelakangan ini, saya menyedari satu trend yang semakin rancak di media sosial.

Orang ramai memuat naik potret diri yang kelihatan seolah-olah diambil oleh jurugambar profesional, sedangkan ia hanyalah hasil ciptaan kecerdasan buatan (AI).

Ada yang tampil dalam gaya klasik dan ada juga yang kelihatan seperti model antarabangsa. Kadang-kadang saya sendiri terpegun melihat betapa ‘sempurna’ hasilnya.

Namun, dalam hati muncul satu soalan yang tidak dapat dielakkan: adakah AI bakal mengambil alih tugas jurugambar seperti saya?

Sebagai seseorang yang sudah lama berurusan dengan kamera, saya tahu bahawa fotografi bukan sekadar menekan butang untuk mendapatkan gambar yang indah.

Ia berkaitan dengan membaca suasana, memahami cahaya, berinteraksi dengan subjek dan menunggu saat paling sesuai untuk dirakam.

Dalam setiap klik, ada perasaan yang cuba diterjemahkan menjadi visual.

AI mungkin boleh mencipta wajah dengan pencahayaan yang sempurna, latar belakang yang menawan, malah ekspresi yang tampak ‘tulen’.

Namun, ia hanya meniru. Ia tidak tahu bagaimana hendak berbual dengan subjek yang gugup di hadapan lensa, tidak tahu bila hendak bergurau kecil untuk mencairkan suasana dan tidak tahu bagaimana menangkap senyuman yang benar-benar datang dari hati.

Saya pernah mengambil gambar seorang peniaga jalanan di tengah-tengah kota pada waktu senja.

Peluh di dahinya bercampur dengan cahaya jingga yang jatuh dari bangunan tinggi di belakangnya.

Dalam wajah letih itu, ada tekad dan kejujuran yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Gambar itu tidak sempurna dari segi komposisi, tetapi ia menangkap detik manusiawi yang tulen dan bagi saya, itulah keindahan sebenar.

AI tidak memahami konteks seperti itu.

Ia hanya tahu menghasilkan imej berdasarkan data dan corak. Ia tidak tahu tentang kisah di sebalik wajah seseorang: keletihan, kehilangan, kebahagiaan atau kerinduan yang tersembunyi di sebalik sepasang mata. Lebih membimbangkan, ramai pengguna kini mula membandingkan diri mereka dengan versi AI.

“Cantiknya muka aku bila AI buat, kalau realiti macam ini, memang ramai akan DM aku,” kata salah seorang kenalan saya melalui hantaran di media sosial.

Namun di sebalik gurauan itu, saya terfi kir: adakah kita mula mempercayai bahawa kecantikan sebenar hanya wujud dalam dunia digital?

AI melicinkan kulit, menajamkan rahang, membesarkan mata dan menyingkirkan segala yang dianggap ‘cacat’.

Ia secara halus membentuk satu piawaian kecantikan baharu yang tidak realistik dan lebih berbahaya, tidak manusiawi.

Saya faham, dunia fotografi memang sentiasa berubah.

Dulu, ketika kamera digital mula menggantikan fi lem, ramai jurugambar juga bimbang.

Namun akhirnya, kita belajar menyesuaikan diri.

Begitu juga dengan kehadiran AI.

Ia bukan musuh, tetapi alat.

Masalahnya, ramai yang menggunakannya tanpa memahami nilai sebenar di sebalik gambar.

Sebagai jurugambar, saya percaya fotografi ialah proses empati, melihat dunia melalui mata orang lain.

Kamera hanyalah medium; hati manusialah yang menentukan hasilnya. Namun, ia tidak boleh memutuskan bila masa terbaik untuk menekan butang pengatup.

Ia tidak tahu bagaimana menangkap detik yang spontan, yang tidak mungkin diulang lagi.

Di sinilah perbezaan antara ‘gambar cantik’ dengan ‘gambar benar’.

Lihat sahaja foto dokumentari perang atau potret kemanusiaan di kawasan bencana: ia tidak indah dalam erti keindahan visual, tetapi penuh jiwa.

Gambar-gambar sebegitu menjadi bukti sejarah, suara kepada mereka yang tidak mampu bersuara. AI boleh mereka semula, tetapi tidak boleh menjadi saksi.

Saya tidak menolak kemajuan teknologi. Saya sendiri menggunakan perisian AI untuk membantu mempercepatkan proses penyuntingan.

Tetapi saya tetap percaya bahawa nilai seni tidak terletak pada alat yang digunakan, sebaliknya pada niat dan rasa yang disampaikan.

AI boleh mencipta bentuk, tetapi hanya manusia yang mampu menyampaikan makna. Dunia kini sedang bergerak ke arah yang lebih digital, dan fotografi juga akan terus berevolusi.

Namun, saya yakin satu perkara: dalam setiap gambar yang benar-benar menyentuh hati, masih ada sentuhan manusia di sebaliknya.

Sama ada tangan yang memegang kamera atau hati yang memahami makna di sebalik subjek, elemen itu tidak akan dapat digantikan.

Lensa mesin mungkin boleh meniru rupa, tetapi hanya lensa manusia yang mampu menangkap jiwa.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan