Trending

APMM Sarawak tahan nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut di perairan negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Setelah lebih dua jam dikejar, sebuah bot nelayan dari Vietnam akhirnya menyerah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas beberapa hari mencuri hasil laut di perairan negara.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Unit CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak, Leftenan Komander Maritim Musli Jaffar, tangkapan dilakukan sekitar jam 5.30 pagi pada Ahad di lebih kurang 52.6 batu nautika barat laut Tanjung Sirik.

Katanya seorang tekong dan dua awak-awak yang merupakan warga Vietnam turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang bukti pengenalan diri yang sah selain merampas lebih 200 kilogram hasil laut pelbagai jenis daripada bot mereka.

“Semasa operasi, bot nelayan asing ini sedang menangkap ikan di sekitar Tanjung Sirik namun sebaik menyedari anggota kami, mereka segera memecut bot untuk melarikan diri dan bermulalah kejar mengejar dari jam 3.30 pagi.

“Setelah kira-kira 11 batu nautika mengejar, kami dapat mengepung dan menangkap mereka,” katanya pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin(KOMTAS) di sini, hari ini.

Musli menunjukkan bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara, selepas sidang media di jeti KOMTAS semalam.

Musli berkata tangkapan ke 12 APMM Sarawak ke atas bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara itu juga adalah hasil maklumat dari nelayan tempatan.

Beliau menambah pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen dan lesen yang dikeluarkan oleh ketua pengarah perikanan Malaysia, sekali gus menyalahi Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, katanya jika disabit kesalahan, tekong boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun manakala awal-awak boleh didenda RM100,000 seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas bot berkenaan.

Beliau menegaskan APMM Sarawak sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin serta mematuhi undang-undang.

Musli juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan bot nelayan asing atau sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara supaya menyalurkan maklumat kepada APMM Sarawak dengan pusat operasi Maritim Sarawak di talian 082-432 544 yang beroperasi 24 jam.

Musli menyoal siasat tiga nelayan warga Vietnam yang ditangkap mencuri hasil laut di perairan Tanjung Sirik, selepas sidang media di jeti KOMTAS semalam.

 

Musli menunjukkan peta lokasi penahanan bot nelayan Vietnam di Tanjung Sirik, selepas sidang media di jeti KOMTAS semalam.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru

Regu Azam raja libas

REGU Azam dari Bintulu muncul juara Kejohanan Raja Pisak Ragak