Ekosistem pokok apong atau nipah (Nypa fruticans) di Sarawak bukan sekadar dimanfaatkan sebagai sumber tradisional untuk menghasilkan gula apong, malah merupakan aset alam sekitar yang penting bagi mengekalkan keseimbangan ekologi sungai, bertindak sebagai benteng semula jadi daripada hakisan serta menjadi gedung simpanan karbon biru yang amat bernilai.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Farah Akmal Idrus, pokok nipah memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi di kawasan muara dan tebing sungai yang dipengaruhi oleh fenomena pasang surut.
Beliau menjelaskan dari perspektif ekologi pesisir, sistem rizom bawah tanah pokok nipah yang ekstensif dan menjalar di dalam lumpur amat berkesan untuk menstabilkan tebing sungai, memerangkap sedimen serta mengurangkan hakisan tanah secara berterusan.
“Di Sarawak, kawasan sungai seperti Sungai Saribas dan Sungai Samarahan mempunyai kepadatan pokok nipah yang tinggi, sekali gus berfungsi sebagai zon penampan semula jadi.
“Kehadirannya membantu mengurangkan kesan banjir pesisir dan kenaikan aras laut, di samping menyediakan habitat, tempat mencari makan dan kawasan asuhan bagi pelbagai biota marin yang menyokong produktiviti perikanan tempatan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dr. Farah bagaimanapun menjelaskan pokok nipah sebenarnya tidak tumbuh di kawasan pesisir yang terbuka dan terdedah kepada ombak kuat.
Sebaliknya, spesies ini tumbuh subur di kawasan berair payau di sepanjang tebing sungai dan muara, tempat berlakunya percampuran air tawar dengan air laut.
Gedung ‘Karbon Tersembunyi’ Di Bawah Tanah
Mengulas peranan ekosistem apong dalam mitigasi perubahan iklim, beliau menjelaskan pokok nipah sering terlepas daripada perhatian dalam perbincangan mengenai karbon biru berbanding hutan bakau berkayu.
Hal ini disebabkan oleh keunikan struktur fizikal tumbuhan tersebut.
Dari sudut karbon atas tanah (AGC), katanya, nipah mempunyai kapasiti penyimpanan karbon yang jauh lebih rendah berbanding bakau berkayu seperti spesies Rhizophora.
Pokok bakau berkayu mampu menyimpan karbon sehingga kira-kira 81 megagram karbon sehektar (Mg C/ha), manakala nipah hanya merekodkan nilai sekitar 2 Mg C/ha.
“Nipah ialah tumbuhan palma yang tidak mempunyai batang berkayu kekal.
Tisu palmanya lebih ringan dan jangka hayat pelepahnya agak singkat, menyebabkan pengumpulan jisim karbon pada struktur tumbuhan itu rendah.
“Namun, potensi sebenar nipah terletak di bawah permukaan tanah menerusi simpanan karbon bawah tanah (BGC), yang bertindak sebagai hidden blue carbon sink atau takungan karbon biru tersembunyi,” jelas beliau.
Tambahnya, kajian menunjukkan sedimen di bawah hutan nipah sehingga kedalaman satu meter mampu menyimpan antara 322 hingga 356 megagram karbon organik sehektar (Mg OC ha⁻¹).
Anggaran ini amat signifikan dan setanding dengan purata global simpanan karbon di hutan bakau lain.
Keupayaan ini didorong oleh jumlah serasah, termasuk daun gugur, yang tinggi serta sistem akar berserabut yang cekap memerangkap lumpur dan bahan organik.
Pengumpulan dan pemendapan bahan organik dalam sedimen membolehkan karbon tersebut tersimpan secara stabil untuk tempoh beribu-ribu tahun.
Justeru, Dr. Farah menegaskan melindungi ekosistem apong bermakna memelihara deposit karbon organik yang sangat besar di dalam tanah.
Sekiranya kawasan ini dimusnahkan atau ditukar guna, karbon yang tersimpan di bawah tanah berpotensi dilepaskan ke atmosfera dalam jumlah yang besar, sekali gus memburukkan lagi pemanasan global.
Risiko Ekologi dan Ancaman Penebangan Habitat
Penukaran guna kawasan nipah untuk projek pembangunan atau tanaman komersial berskala besar seperti kelapa sawit boleh menimbulkan kesan berantai yang membimbangkan terhadap alam sekitar.
Penebangan hutan nipah bukan sahaja membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera, malah meningkatkan risiko pencemaran bahan toksik dalam persekitaran akuatik.
Kajian yang dijalankan oleh Dr. Farah di beberapa sungai yang terdedah kepada aktiviti penebangan hutan bakau dan hutan nipah serta pengambilan pasir sungai mendokumentasikan risiko pelepasan semula logam berat toksik yang telah lama terpendam dalam sedimen.
“Aktiviti penebangan nipah dan bakau serta pengorekan pasir sungai menyebabkan logam toksik seperti arsenik (As)dan plumbum (Pb) terlepas semula ke dalam turus air.
Indeks risiko ekologi (RI) di kawasan terjejas mencatatkan tahap ‘sangat tinggi’ (RI > 600).
“Keadaan ini boleh mengancam rantaian makanan akuatik dan kesihatan manusia sekiranya bahan tersebut terkumpul dalam organisma akuatik yang menjadi hasil tangkapan,” katanya ketika mengulas dapatan penyelidikannya.
Selain itu, pembukaan tanah untuk pertanian komersial tanpa mengekalkan zon penampan nipah membolehkan air larian permukaan yang mengandungi baja kimia mengalir terus ke sungai.
Keadaan ini boleh mencetuskan eutrofikasi atau ledakan alga yang mengurangkan kandungan oksigen terlarut dalam air, sekali gus mengancam kelangsungan hidup haiwan akuatik seperti ikan, udang dan ketam nipah.
Sekiranya berlaku pengurangan atau kehilangan zon nipah, keadaan ini berpotensi meningkatkan kerentanan ekosistem sungai terhadap kemasukan air masin lebih jauh ke hulu, di samping mengubah struktur dan komposisi komuniti tumbuhan riparian.
Perubahan tersebut berpotensi meningkatkan dominasi relatif spesies bakau lain yang sememangnya natif, seperti Sonneratia caseolaris (pokok pedada), khususnya apabila keadaan hidrologi dan saliniti berubah.
Perubahan struktur habitat ini seterusnya boleh mempengaruhi fungsi ekosistem serta ketersediaan habitat dan sumber makanan bagi hidupan liar seperti monyet Belanda (Nasalis larvatus).
Bagaimanapun, keadaan zon nipah di Sarawak pada masa ini secara umumnya masih baik.
Spesies ini juga masih tersebar luas dan mudah ditemui di sepanjang sungai di Sarawak.
Oleh itu, sebarang perubahan atau pengurangan zon nipah perlu dilihat sebagai ancaman jangka panjang yang berpotensi berlaku dan wajar dipantau, bukannya sebagai kehilangan habitat yang telah berlaku secara meluas pada masa ini.
Khazanah Evolusi Dan Inovasi Teknologi Hijau
Dari perspektif botani, pokok nipah mempunyai kedudukan yang unik sebagai satu-satunya spesies monokotiledon dalam kelompok bakau sejati (true mangroves).
Berbeza dengan bakau lain, nipah tidak mempunyai batang menegak yang tumbuh di atas permukaan tanah, sebaliknya mempunyai rizom tebal yang menjalar di dalam lumpur, manakala pelepah daunnya boleh mencapai sehingga 10 meter.
Spesies ini juga mempunyai mekanisme pembiakan kriptovivipari (cryptovivipary), iaitu perkembangan awal anak benih bermula ketika buah masih melekat pada pokok, sebelum buah tersebut gugur dan dihanyutkan oleh arus pasang surut.
Struktur buahnya yang berserat serta mempunyai daya apungan membolehkannya terapung dan tersebar secara semula jadi di sepanjang sungai dan kawasan muara.
Lebih menarik, genus Nypa mempunyai sejarah evolusi yang sangat panjang, dengan rekod debunga fosil menunjukkan kewujudannya sejak Zaman Kapur Akhir, kira-kira 75 juta tahun lalu.
Keunikan ini menjadikan hutan nipah di Sarawak seolah-olah sebuah “muzium hidup” yang menyimpan rekod evolusi tumbuhan pesisir sejak zaman geologi purba.
Bagi memodenkan pengeluaran produk apong secara mesra alam, penyelidik UNIMAS seperti Rasli Muslimen dan Dr. Ana Sakura Zainal Abidin membangunkan inovasi dapur hibrid gula apong (HPS).
Dapur biomas berkecekapan tinggi ini direka khas untuk mengoptimumkan penggunaan haba dan mengurangkan masa pendidihan nira sehingga 40 peratus berbanding kaedah tradisional.
Penggunaan HPS membolehkan proses pembakaran yang lebih sempurna, sekali gus mengurangkan pelepasan asap tebal dan risiko terhadap kesihatan pengusaha.
Sistem ini juga menawarkan fleksibiliti penggunaan bahan api hibrid, sama ada kayu api atau gas petroleum cecair (LPG), bagi mengurangkan kebergantungan kepada kayu bakau.
Penggunaan peranti pengumpulan nira moden yang tertutup turut meningkatkan tahap kebersihan bahan mentah sehingga 97 peratus.
Memperkasakan Pengetahuan Tempatan Dan Ekonomi Hijau
Dr. Farah turut menekankan peranan komuniti penuak tradisional sebagai penjaga utama ekosistem apong di Sarawak.
Pengetahuan tradisional masyarakat tempatan yang diwarisi turun-temurun menjadi antara kunci kepada pemuliharaan hutan nipah.
“Teknik unik seperti merangsang atau menggoncang tangkai bunga (mayang) secara konsisten dua kali sehari selama beberapa minggu merupakan kaedah khusus untuk merangsang aliran nira tanpa perlu menebang pokok.
“Kaedah penuaian selektif ini membolehkan pokok nipah terus menghasilkan nira untuk tempoh yang panjang dan kekal produktif sehingga usia tertentu.
“Amalan mengekalkan sempadan kawasan penuaian yang diwarisi secara turun-temurun serta semangat kerjasama komuniti secara tidak langsung dapat mencegah eksploitasi berlebihan dan memberi ruang kepada hutan nipah untuk pulih secara semula jadi,” ujarnya.
Di bawah prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) pada 2022 dilihat sebagai langkah penting untuk mengawal selia industri, memastikan pematuhan piawaian kualiti serta menggalakkan pelaburan hijau.
Memandangkan potensi penyelidikan pada masa hadapan masih luas, merangkumi bidang bioproduk, farmaseutikal, bioetanol dan bahan binaan berasaskan ekonomi kitaran, Dr. Farah menegaskan bahawa pemeliharaan pokok apong merupakan pelaburan strategik bagi Sarawak.
“Melindungi pokok apong bermakna kita mengukuhkan pertahanan semula jadi terhadap perubahan iklim, menjamin keutuhan struktur tebing sungai serta mengekalkan produktiviti ekosistem marin yang menyokong kehidupan dan ekonomi rakyat Sarawak dalam jangka panjang,” jelas beliau.



