ARTIKEL

Perasaan teruja dan sebak menyelubungi kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di sini selepas enam hari berada di Madinah. Seramai 260 jemaah kumpulan KT01 tiba pada 4.30 petang waktu tempatan dan ditempatkan di Hotel Abraj Al Tayseer yang juga menjadi ibu pejabat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah. Ketibaan mereka disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Ketua Rombongan Haji 1447H/2026 Hisyam Harun serta petugas TH. Sejurus tiba, jemaah dijadualkan menunaikan umrah wajib secara berperingkat bermula 9 malam Jumaat di Masjidil Haram. -Foto BERNAMA

Arab Saudi Perketat Akses Haji, Kad Nusuk Jadi Syarat Wajib

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKKAH: Penggunaan kad Nusuk sebagai “pasport ibadah” menjadi antara tumpuan utama musim haji tahun ini apabila kerajaan Arab Saudi memperketatkan penguatkuasaan peraturan sedia ada bagi memastikan kelancaran ibadah jutaan jemaah.

Kad Nusuk yang berfungsi sebagai pengenalan diri serta permit rasmi, kini menjadi syarat wajib untuk memasuki kawasan suci termasuk Masjidil Haram, selain digunakan di pelbagai kawasan pemeriksaan yang dikawal rapi oleh pihak berkuasa.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata penguatkuasaan ketat itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya kesinambungan daripada peraturan sedia ada yang kini dilaksanakan secara lebih tegas.

“Seperti biasa, setiap tahun akan ada penambahbaikan dari segi peraturan, namun kali ini penguatkuasaan dibuat lebih ketat termasuk penggunaan aplikasi dan kad Nusuk sebagai kelulusan untuk memasuki Makkah dan Masjidil Haram,” katanya.

Tengku Mohd Dzaraif berkata pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh termasuk melalui imbasan kad di pusat pemeriksaan serta operasi di hotel dan penginapan bagi memastikan hanya jemaah yang memiliki permit sah dibenarkan berada di Tanah Suci.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengawal jumlah jemaah yang berpotensi mencecah lebih dua juta orang sekiranya tidak dikawal, sekali gus boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaan ibadah.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan Arab Saudi sebagai penjaga dua masjid besar di Tanah Suci untuk memastikan pengurusan haji berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Lembaga Tabung Haji terus memainkan peranan penting dalam memastikan jemaah Malaysia sentiasa dimaklumkan mengenai peraturan terkini melalui taklimat berterusan.

Tinjauan Bernama menunjukkan suasana di Makkah kini lebih teratur susulan kawalan ketat terhadap jemaah tanpa permit, sekali gus mencerminkan keutamaan pihak berkuasa terhadap keselamatan dan pengurusan yang efisien, di samping mengurangkan kesesakan agar jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU