PADA malam Selasa minggu lalu, saya sempat menghadiri majlis perasmian penuh gemilang Sukan SEA 2025 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.
Acaranya cukup meriah di sebalik konflik antara Kemboja dengan Thailand.
Acara dimulakan dengan segmen Back to the Origin.
Sebanyak 800 dron ditampilkan, membentuk logo Sukan SEA 2025 dan akhirnya ditamatkan dengan Sawasdee, ucap selamat dalam bahasa Thai.
Daripada kilauan dron, persembahan diteruskan dengan segmen Ignite the Games.
Laser, nyalaan api dan cahaya melimpahi arena sebagai tanda cita-cita dan ketahanan atlet Asia Tenggara.
Anda dapat bayangkan suasana di dalam stadium apabila ia diikuti persembahan lagu rasmi temasya, 1% oleh artis rap berpengaruh Thailand Golf F.
Hero, penyanyi dan pelakon kelahiran ThaiBelgium, Violette Wautier serta artis hip hop tempatan terkenal, Pitawat Pruksakit.
Artis Thai K-pop popular anggota GOT7, BamBam menyemarakkan suasana menerusi segmen Blooming of One Victory dengan persembahan Wheels Up.
Bangkok dengan kehidupan malam yang sentiasa meriah begitu bergemerlapan dilimpahi percikan bunga api.
Kota Bangkok kelihatan begitu gah, dan saya teruja untuk kembali selepas tidak berkunjung ke negara itu sekitar 10 tahun.
Pada malam itu juga, sudah tersebar desas-desus bahawa Kemboja akan menarik diri daripada pertandingan.
Ternyata, khabar itu benar apabila Kemboja mengumumkan menarik diri daripada Sukan SEA 2025.
Kontinjen Kemboja seramai 137 atlet dan pegawai pulang ke Phnom Penh keesokan harinya.
Alasan penarikan diri Kemboja ialah faktor keselamatan meskipun kita tahu sebab sebenar.
Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, bermula jam 10.00 malam kelmarin waktu Thailand-Kemboja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, gesaan itu disampaikan menerusi perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.
Gesaan Malaysia agar Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan bukan sekadar kenyataan diplomatik rutin.
Ia mencerminkan kebimbangan serius terhadap kebangkitan semula konflik bersenjata di Asia Tenggara, sebuah rantau yang selama ini dianggap relatif stabil berbanding kawasan lain di dunia.
Konflik Thailand-Kemboja yang tercetus semula ini mengingatkan kita bahawa pertikaian lama yang tidak diselesaikan secara tuntas boleh meletus pada bila-bila masa, membawa kesan yang jauh melangkaui sempadan dua negara terlibat.
Konflik antara Thailand dengan Kemboja berakar daripada sejarah panjang pertikaian sempadan yang diwarisi sejak era penjajahan.
Garisan sempadan yang dilakar oleh kuasa kolonial Perancis pada awal abad ke-20 meninggalkan banyak kawasan yang kabur statusnya.
Isu paling simbolik ialah kawasan sekitar Kuil Preah Vihear, yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1962 sebagai milik Kemboja.
Namun, keputusan itu tidak sepenuhnya meredakan pertikaian kerana kawasan sekitarnya masih dipertikaikan, manakala tafsiran terhadap peta dan garis sempadan terus menjadi bahan polemik politik dan ketenteraan.
Seyogia diingatkan, ketegangan ini pernah memuncak pada 2008 hingga 2011 apabila pertempuran bersenjata tercetus, mengorbankan nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.
Walaupun konflik itu berjaya diredakan, akar masalahnya tidak pernah diselesaikan sepenuhnya.
Justeru, kejadian yang berlaku hari ini bukan konflik baharu, tetapi kesinambungan kepada pertikaian lama yang hanya “dibekukan”, bukannya ditamatkan.
Punca kebangkitan semula konflik kebelakangan ini boleh dilihat dari beberapa sudut.
Isu sempadan yang masih kabur di sepanjang ratusan kilometer kawasan perbatasan menjadikan pertembungan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara sukar dielakkan.
Provokasi bersenjata, termasuk insiden tembak-menembak dan dakwaan pemasangan periuk api, telah meningkatkan ketegangan dengan pantas.
Faktor politik dalaman turut memainkan peranan penting.
Sentimen nasionalisme sering dieksploitasikan oleh pemimpin politik bagi meraih sokongan rakyat, terutamanya ketika berdepan tekanan domestik dan menjelang pilihan raya.
Adakah ini juga antara faktor yang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Thailand untuk membubarkan parlimen?
Kesan konflik ini paling jelas dirasai oleh penduduk awam di kawasan sempadan.
Ribuan keluarga terpaksa meninggalkan rumah, ladang dan perniagaan mereka demi keselamatan.
Infrastruktur asas seperti sekolah, hospital dan jalan raya rosak atau tidak dapat digunakan.
Konflik ini mencetuskan krisis kemanusiaan yang memerlukan bantuan segera.
Ia turut menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat sempadan yang selama ini bergantung kepada perdagangan rentas sempadan dan hubungan komuniti yang rapat.
Dari sudut ekonomi, kesannya turut dirasai pada peringkat nasional dan serantau.
Penutupan pintu sempadan dan gangguan logistik menjejaskan perdagangan dua hala antara Thailand dengan Kemboja.
Sektor pelancongan, khususnya di kawasan bersejarah dan sempadan, mengalami kemerosotan ketara akibat kebimbangan keselamatan.
Lebih membimbangkan, konflik ini menghakis keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan Asia Tenggara, terutama apabila ia melibatkan dua ekonomi penting di rantau ini.
Implikasi terhadap ASEAN pula tidak boleh dipandang ringan.
ASEAN sering berbangga dengan prinsip keamanan, dialog dan tidak campur tangan.
Namun, konflik bersenjata antara dua negara anggota merupakan ujian besar terhadap kredibiliti dan keberkesanan organisasi serantau itu.
Jika ASEAN gagal memainkan peranan yang bermakna, ia membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar, sekali gus merumitkan landskap geopolitik rantau ini.
Justeru, Perdana Menteri kita telah sedaya upaya untuk membantu meleraikan kekusutan yang berlaku.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia tampil menggesa gencatan senjata dan menolak sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
Gesaan ini bukan sahaja bertujuan meredakan konflik, tetapi juga menegaskan komitmen ASEAN terhadap penyelesaian secara aman.
Malaysia, dengan pengalaman dalam diplomasi serantau, berada pada kedudukan strategik untuk memudahkan dialog, termasuk cadangan penubuhan pasukan pemerhati atau mekanisme pemantauan bersama.
Namun, gencatan senjata semata-mata tidak mencukupi.
Penyelesaian jangka panjang memerlukan keberanian politik kedua-dua negara untuk kembali ke meja rundingan dan menangani isu sempadan secara menyeluruh dan tuntas, sama ada melalui rundingan dua hala, pengantaraan ASEAN atau rujukan kepada mekanisme undang-undang antarabangsa.
Tanpa penyelesaian tuntas, bukan menghairankan jika konflik ini berulang lagi pada masa hadapan.
Konflik Thailand–Kemboja bukan sekadar pertikaian dua negara jiran, tetapi cerminan cabaran keamanan di Asia Tenggara.
Sesungguhnya, kestabilan serantau tidak boleh diambil mudah dan memerlukan usaha berterusan.
Gesaan Malaysia untuk menghentikan permusuhan ialah langkah penting, tetapi kejayaan sebenar bergantung kepada kesediaan Thailand dan Kemboja untuk memilih diplomasi berbanding senjata.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah peminat sejarah, budaya dan makanan Thailand dengan menjadikan Bangkok antara destinasi utama kembara.






