KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah kagum dengan kejayaan yang dipamerkan oleh atlet para Sarawak di temasya Sukan Para ASEDAN Ke-13, Kemboja 2023.
Mereka berjaya meraih tiga pingat utama selain mencipta rekod baharu dalam acara kegemaran masing-masing pada kejohanan dwitahunan rantau Asia Tenggara itu.
Fatimah berharap kecemerlangan itu dapat dikekalkan dan dijadikan penanda aras terbaik bagi mereka untuk mencipta kejayaan sama pada Sukan Para SUKMA 2024.
“Kita berharap atlet para Sarawak dapat mengekalkan momentum terbaik mereka.
“Ia penting sebagai penanda aras untuk merampas kembali gelaran juara memandangkan Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Para SUKMA 2024,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Fatimah dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohamad Razi Sitam bersama rombongan turut berada di Kemboja untuk mengikuti perkembangan atlet para Sarawak yang bertanding mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN Ke-13 Kemboja 2023 yang berakhir hari ini.
Jika dianalisis pencapaian atlet para Sarawak di temasya tersebut, mereka jelas menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan pingat kontinjen negara pada saingan kali ini apabila mereka berjaya menyumbang 13 pingat emas, 12 perak dan 10 gangsa.
Untuk rekod, atlet para Sarawak yang mewakili negara bersaing dalam acara renang, powerlifting, badminton kerusi roda, ping pong, bola keranjang kerusi roda, bola sepak dan boccia.