KUCHING: Temasya Sukan Borneo 2025 menghimpunkan sebanyak 124 pingat emas untuk direbut dalam tujuh acara meliputi badminton, bola padang (lawn bowl), olahraga, memanah, renang, tarik tali dan menyumpit.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi julung kali selepas kali terakhir diadakan kira-kira 10 tahun lalu akan berlangsung di Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching, bermula 24 hingga 28 September tahun ini.
“Penyertaan adalah terbuka kepada semua, namun hasil perbincangan semula atlet yang tidak boleh terlibat ialah mereka yang pernah mewakili negara di peringkat Olimpik.
“Namun bagi mereka (atlet) yang pernah menyertai Olimpik pada 10 tahun lalu, mereka sudah tua, mungkin kita boleh pertimbangkan dan tertakluk kepada keputusan pasukan teknikal untuk menentukan sama ada mereka layak untuk menyertai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mesyuarat penyelarasan Borneo Games 2025 Bil.2/ 2025 di bilik mesyuarat Mulu, Baitulmakmur II, hari ini.
Menurut Karim, dijangka lebih 1,000 atlet dari enam kontinjen bakal berkampung di sekitar kawasan Kuching berikutan setiap kontinjen dilaporkan membawa kira-kira 240 atlet.
Namun, jumlah keseluruhan atlet masih belum menemui kata putus memandangkan tarikh penyertaan akan dibuka pada 14 Julai hingga 29 Ogos 2025.
Dalam perkembangan yang sama, selaku tuan rumah Sarawak juga akan mengadakan festival makanan budaya serta pameran seni dan kraf tangan sepanjang temasya itu berlangsung kelak.
“Usaha ini memberi peluang kepada usahawan tempatan kita untuk menjalankan perniagaan pada hari keramaian, sekali gus dapat mempromosikan produk tempatan di pentas antarabangsa secara tidak langsung.
“Ini bukan sekadar festival makanan tempatan, kita juga membuka peluang kepada peniaga dari Semenanjung Malaysia, luar negara seperti Brunei dan Indonesia untuk turut serta seperti yang kita laksanakan pada temasya Regata,” kata Karim.
Sukan Borneo 2025 bakal menyaksikan enam negara dan negeri di kawasan Borneo merangkumi Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei, Provinsi Kalimantan Barat dan Provinsi Kalimantan Timur akan turut serta.
Karim mendedahkan terdapat permohonan dari Semenanjung Malaysia untuk turut serta dalam temasya terbabit.
Namun setakat ini katanya, permohonan tersebut terpaksa ditolak berikutan syarat utama kejohanan ialah mereka yang terdiri dari kepulauan Borneo sahaja.



