TINDAKAN segelintir individu yang gemar merakam video pesawat ketika mendarat mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun personaliti media sosial terkenal Indonesia, Atta Halilintar melihat perkara itu dari sudut yang berbeza.
Atta tampil mempertahankan golongan berkenaan selepas tular satu hantaran di Threads yang mempersoalkan mengapa masih ada individu begitu teruja merakam detik pesawat mendarat.
Kongsinya, setiap orang mempunyai pengalaman dan kisah hidup yang berbeza, justeru tiada sesiapa berhak menghakimi hanya kerana mereka memilih untuk mengabadikan momen tersebut.
Tambahnya lagi, bagi sesetengah individu, ia mungkin pengalaman pertama melihat pesawat dari jarak dekat, manakala bagi yang lain pula, detik itu mempunyai nilai sentimental yang cukup bermakna dalam kehidupan.
“Urus sahaja hidup sendiri. Lucu juga apabila ada yang sanggup menghakimi orang lain hanya kerana mereka teruja merakam pesawat yang sedang mendarat. Sedangkan kita tidak pernah tahu kisah di sebalik detik itu. “

Mungkin itu pengalaman pertama mereka, atau mungkin juga ia merupakan momen yang sangat bermakna dalam hidup mereka,” katanya dalam hantaran di Threads .
Dalam masa sama, Atta berpendapat, minat menikmati pemandangan atau merakam kenangan sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukur terhadap latar belakang seseorang.
Sebaliknya, beliau menegaskan, status, tahap pendidikan atau kedudukan ekonomi bukan penentu nilai seseorang, apatah lagi untuk dijadikan alasan memperlekehkan individu lain.
“Menikmati pemandangan dan mengabadikan kenangan bukan ukuran status, tahap pendidikan atau kedudukan ekonomi seseorang.
“Yang benar-benar memalukan ialah apabila seseorang berasakan dirinya lebih hebat hanya kerana memandang rendah dan memperlekehkan orang lain,” ujarnya.



