KOTA SAMARAHAN: “Dekat sekolah ada ayam goreng kah?,” itu soalan mencuit hati Lazarus Vencer Tonee, 5 tahun kepada ibunya ketika dimaklumkan akan ke sekolah hari ini.
Menurut Olivia Augustus Manang, 39, anaknya itu memang gemar makan ayam goreng dan makanan tersebut sering menjadi menu pilihan utama ketika menjamu selera.
“Agak mencuti hati, apabila dia bertanya… kalau waktu makan di sekolah ada ayam goreng kah? Kerana anak saya memang gemar makan ayam goreng atau dipanggilnya ayam Upin Ipin.
“Sebelum ini, saya tidak pernah menghantarnya ke mana-mana pusat pendidikan awal kanak-kanak jadi inilah kali pertama dia dihantar ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa, di sini, hari ini.
Berbeza pula dengan Nur Shakila Afilia Shahnazrul, 6 tahun yang sangat teruja untuk ke sekolah dan telah bangun seawal jam 5 pagi.

“Saya berasa sangat gembira untuk pergi ke sekolah dan tidak takut. Saya bangun awal,” ujarnya.
Dalam pada itu, ibunya Nur shaffina Abdullah, 35, memaklumkan bahawa memang anaknya itu sudah dimaklumkan tentang persediaan ke sekolah sejak dari awal lagi.
Sementara, kehadiran para pelajar disambut hangat bukan sahaja oleh para guru tetapi juga Guru Besar SK Dato Mohd Musa Issnu Dollah. Mereka juga menerima kunjungan Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Awang Hepeni Awang Onget di sini, sebentar tadi.

