KEAZAMAN merupakan satu perkara positif yang wajar disemaikan dalam diri tanpa perlu menunggu tahun baharu atau seumpamanya.
Keazaman ialah sifat tekad dalam diri setiap kita untuk mencapai sesuatu keinginan dan hajat.
Meletakkan keazaman dalam diri merupakan satu tuntutan dalam agama kerana hal ini seumpama usaha merancang perjalanan hidup ke arah yang lebih baik serta memperbaiki kesilapan lalu.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, azam bermaksud kemahuan atau cita-cita yang sangat kuat. Dalam Islam, azam merupakan satu perkara yang amat digalakkan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Apabila kamu berazam (membulatkan tekad), maka bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 159) Berazam juga sangat berkait rapat dengan amalan memperbaharui niat sebagaimana yang banyak disebut dalam hadis.
Azam dan niat yang ikhlas kerana Allah SWT pasti membawa seseorang ke jalan yang benar serta mampu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Orang yang sentiasa berazam ialah individu yang merancang kehidupannya pada masa hadapan dan berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada pada dirinya. Bahkan, Nabi SAW menyatakan orang yang sentiasa bermuhasabah diri tergolong dalam kalangan insan yang berakal dan bijaksana.
Daripada Syaddad bin Aus RA, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bijak ialah orang yang bermuhasabah diri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.”
(Hadis riwayat al-Tirmizi) Islam mendidik umatnya agar sentiasa mengingati kematian, meskipun kematian merupakan perkara ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapa pun waktu dan ketetapannya.
Namun demikian, umat Islam diajar supaya sentiasa membuat persediaan dan merancang kehidupan dengan sebaik mungkin sebagai bekalan untuk bertemu Allah SWT serta meraih syurga-Nya.
MEMPERBAIKI KUALITI IBADAH
Antara perkara yang perlu sentiasa kita perbaiki ialah kualiti ibadah dalam kehidupan seharian.
Semakin kita mempertingkatkan kualiti ibadah, semakin besar usaha kita untuk memperoleh reda Allah SWT.
Sekali gus, ibadah yang diperbaiki memberi kesan positif kepada kehidupan, seterusnya membawa keberkatan daripadaNya.
Allah SWT berfirman: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh atas tauhid, serta mendirikan solat dan menunaikan zakat.
Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah: 5) Dalam hadis yang panjang daripada Abu Hurairah RA, Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi SAW, antaranya menyentuh tentang maksud ihsan.
Baginda SAW bersabda: “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” (Hadis riwayat alBukhari dan Muslim)
AZAM TIDAK MENGULANGI DOSA
Seterusnya, kita hendaklah berazam untuk tidak mengulangi segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu serta memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT agar Dia menerima taubat kita.
Taubat yang diterima, dengan izin Allah SWT, menjadi sebab seseorang memperoleh keampunan, seterusnya membawa kepada keselamatan daripada azab neraka dan ganjaran syurga.
Allah SWT juga berfirman: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia memberi kamu kenikmatan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang ditentukan, dan Dia memberikan kepada setiap orang yang berbuat kebaikan akan pahala kelebihannya.” (Surah Hud: 3)



