ARTIKEL

Bahasa dan patriotisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KENYATAAN Premier Sarawak bahawa penguasaan dan bercakap dalam bahasa Inggeris bukan petanda lunturnya patriotisme, sebaliknya, ia merupakan jambatan kepada penguasaan ilmu dan kemajuan. 

Dalam suasana wacana awam yang sering memerangkap isu bahasa dalam kerangka emosi dan politik, beliau mengangkat satu persoalan yang lebih besar: apakah ukuran sebenar patriotisme pada abad ke-21?

Patriotisme tidak dapat terus diukur semata-mata melalui bahasa yang dituturkan, pakaian yang dipakai atau slogan yang dilaungkan. 

Semua itu penting sebagai simbol identiti, tetapi simbol tidak akan bermakna jika sesebuah bangsa gagal membina kekuatan ilmu, ekonomi dan teknologi.

Negara dihormati bukan kerana retoriknya, tetapi kerana kemampuan rakyatnya mencipta penyelesaian, meneroka sempadan ilmu dan menyumbang kepada kemajuan dunia. 

Patriotisme tanpa ilmu tidak bermakna kerana semangat cinta akan negara perlu disertai pengetahuan, pemikiran kritis dan tindakan yang bijaksana.

Ilmu membantu rakyat membuat keputusan yang tepat, memajukan negara, mempertahankan kedaulatan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara bertanggungjawab.

Ilmu ialah bentang untuk mempertahankan negara daripada penjajahan dan penguasaan negara asing dalam pelbagai segi. Di sinilah kenyataan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membawa mesej yang cukup signifikan.

Beliau tidak menolak kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bagi mereka yang mengikuti secara dekat perjalanan politik dan wacana Premier sejak awal pembabitannya dalam politik, tentu tahu bahawa beliau banyak memperjuangkan dan memperkatakan isu bahasa Melayu. 

Untuk mengetahuinya, tanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentang sokongan dan peruntukan yang disalurkan oleh beliau kepada DBP Sarawak untuk membantu mengembangkan penggunaan bahasa Melayu dan mempergiatkan aktiviti sastera dan penerbitan khususnya di Sarawak.

Abang Johari mengingatkan bahawa menguasai bahasa Inggeris ialah satu keperluan strategik untuk mengakses khazanah ilmu yang sebahagian besarnya masih diterbitkan dalam bahasa tersebut, khususnya alam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ahli falsafah Inggeris, Francis Bacon, pernah mengungkapkan, “Knowledge itself is power.” Ilmu ialah kuasa.

Namun, pada era globalisasi, jalan paling luas dan pantas menuju ilmu juga melalui penguasaan bahasa antarabangsa.

Menolak bahasa Inggeris atas alasan patriotisme ibarat menutup pintu perpustakaan terbesar dunia hanya kerana papan tandanya ditulis dalam bahasa asing.

Ironinya, banyak negara yang paling kuat mempertahankan identiti nasional mereka juga merupakan negara yang paling berjaya menguasai bahasa asing.

Jepun, Korea Selatan, China dan negara-negara Scandinavia tidak kehilangan jati diri apabila rakyat mereka fasih berbahasa Inggeris. 

Sebaliknya, mereka menggunakan bahasa itu sebagai alat memperoleh ilmu, kemudian menterjemahkan ilmu tersebut kepada inovasi yang mengangkat martabat negara masing-masing.

Hal ini mengingatkan kita kepada kata-kata Konfusius: “The will to win, the desire to succeed, the urge to reach your full potential… these are the keys that will unlock the door to personal excellence.”

Keinginan untuk mencapai potensi tertinggi tidak mengenal sempadan bahasa.

Bahasa hanyalah alat; yang menentukan nilai seseorang adalah bagaimana alat itu digunakan untuk membina tamadun. D

alam konteks Malaysia, perdebatan mengenai bahasa sering kali bersifat dikotomi yang tidak perlu.

Seolah-olah seseorang itu hanya boleh memilih antara mencintai bahasa Melayu atau menguasai bahasa Inggeris. Hakikatnya, kedua-duanya boleh bergerak seiring.

Bahasa Melayu kekal sebagai asas identiti, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan, manakala bahasa Inggeris menjadi wahana ilmu, diplomasi, perdagangan dan penyelidikan antarabangsa.

Pandangan ini sebenarnya selari dengan falsafah pendidikan Islam.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah iqra’ — bacalah.

Perintah itu tidak mengikat manusia kepada satu bahasa tertentu, tetapi menggesa manusia mencari ilmu tanpa batas. 

Dalam sejarah tamadun Islam sendiri, para sarjana seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Al-Farabi menterjemah karya-karya Yunani, Parsi dan Sanskrit sebelum mengembangkannya menjadi tamadun ilmu yang akhirnya menerangi Eropah.

Mereka tidak menganggap mempelajari bahasa asing sebagai ancaman kepada akidah atau identiti, bahkan sebagai jalan memperkaya peradaban.

Apabila Premier Sarawak menyebut kejayaan anak Sarawak dalam industri semikonduktor serta cita-cita negeri ini melancarkan satelit sendiri menjelang 2030, beliau sebenarnya sedang mengalihkan fokus daripada perdebatan simbolik kepada agenda substantif. 

Dunia hari ini sedang memasuki era kecerdasan buatan, teknologi kuantum, bioteknologi dan ekonomi digital.

Persoalannya bukan lagi siapa yang paling lantang bercakap tentang patriotisme atau nasionalisme, tetapi siapa yang mampu menghasilkan cip komputer, membina satelit, mencipta teknologi tenaga hijau dan menguasai data.

Albert Einstein pernah mengingatkan, “Ukuran kecerdikan ialah keupayaan untuk berubah.”

Bangsa yang enggan menyesuaikan diri dengan perubahan akhirnya akan menjadi pengguna teknologi, bukan penciptanya.

Sedangkan negara yang menguasai ilmu akan menentukan arah masa depan dunia.

Dalam konteks ini juga, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai isu bahasa, tetapi sebagai strategi meningkatkan daya saing generasi muda. 

Jika sebahagian besar jurnal saintifik, manual teknologi dan penyelidikan terkini diterbitkan dalam bahasa Inggeris, maka memberikan akses awal kepada pelajar bukanlah satu bentuk pengkhianatan terhadap bahasa kebangsaan, sebaliknya satu pelaburan terhadap masa depan negara.

Malah, Nelson Mandela pernah berkata, “Apabila kamu berbicara dengan seseorang dalam bahasa yang difahaminya, kata-katamu menyentuh fikirannya.

Namun, apabila kamu berbicara dalam bahasa ibundanya, kata-katamu menyentuh hatinya.” 

Kata-kata ini mengajar kita bahawa bahasa ibunda menyentuh jiwa, manakala bahasa antarabangsa membuka pintu dunia. Kedua-duanya saling melengkapi, bukannya saling menafikan.

Patriotisme abad ke-21 bukan lagi sekadar mengibarkan bendera atau melaungkan slogan cinta negara. 

Patriotisme hari ini bermaksud menghasilkan saintis yang disegani dunia, jurutera yang mencipta teknologi baharu, penyelidik yang menerbitkan penemuan bertaraf antarabangsa, usahawan yang menembusi pasaran global dan pemimpin yang berani melabur dalam pendidikan.

Jika rakyat menguasai pelbagai bahasa tetapi menggunakan ilmu itu untuk memajukan negara, mereka sedang mempraktikkan patriotisme dalam bentuk yang paling nyata.

Sebaliknya, jika kita hanya berbangga dengan slogan tanpa membina keupayaan bangsa, patriotisme itu akan tinggal sebagai retorik yang kosong.

Mesej Abang Johari ialah seruan agar kita berfikir melangkaui polemik bahasa.

Bahasa bukan musuh patriotisme; kejahilanlah musuh sebenar.

Bahasa Inggeris tidak akan menghakis cinta kepada negara jika akar identiti terus diperkukuh melalui bahasa Melayu, sejarah dan budaya. 

Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris yang digandingkan dengan kecintaan kepada tanah air mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja bangga menjadi rakyat Malaysia, malah dihormati oleh dunia kerana ilmu, inovasi dan sumbangan mereka kepada kemanusiaan.

Seperti diungkapkan oleh Aristotle, “Akar ilmu itu pahit, tetapi buahnya amat manis.”

Buah kepada pendidikan ialah kemajuan.

Dan kemajuan yang dibina atas asas ilmu, jati diri dan keterbukaan terhadap bahasa dunia itulah bentuk patriotisme yang paling bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

• Dato Dr Jeniri Amir berpegang pada prinsip pentingnya seseorang menguasai bahasa kebangsaan dan bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris.

BERITA LAIN

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah