ARTIKEL

Bahasa, pemikiran budaya Melayu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUKU ‘Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu’ merupakan hasil penulisan seorang pakar nahu bahasa Melayu dan juga tokoh terkenal dalam bidang perancangan bahasa yang diterbitkan pada 2021.

Perkaitan bahasa dan pemikiran ialah satu judul yang menarik bukan sahaja bagi ahli-ahli linguistik dan psikologi malah pengguna bahasa yang lain.

Buku yang ditulis oleh Asmah Haji Omar ialah sebuah karya yang mendalam mengenai hubungan erat antara bahasa dengan pemikiran dalam budaya Melayu.

Buku ini juga merupakan kajian linguistik yang memperincikan bagaimana bahasa Melayu mencerminkan dan membentuk cara berfikir masyarakatnya.

Dalam bukunya ‘Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu’, Asmah Haji Omar memulakan perbincangan dengan menekankan betapa pentingnya bahasa untuk mencerminkan budaya.

Beliau menyatakan bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, malah berfungsi sebagai tempat apabila kepercayaan, prinsip dan perspektif masyarakat dunia disimpan dan disampaikan.

Bahasa membolehkan kita memahami dengan lebih baik cara orang Melayu berinteraksi dengan dunia luar.

Bagaimana mereka melihat dunia serta menyatakan perasaan dan fikiran mereka.

Justeru, dalam konteks ini, bahasa Melayu menjadi lebih daripada sekadar alat perhubungan.

Malah menjadi manifestasi budaya yang kaya dan kompleks bagi mewakili pelbagai aspek kehidupan, seperti adat resam, kepercayaan tradisional dan falsafah hidup.

Oleh itu, dengan menganalisis bahasa Melayu, kita dapat mengungkap banyak perkara mengenai alam pemikiran dan identiti kolektif masyarakat Melayu itu sendiri.

Selain itu, buku ini mengkaji dengan teliti struktur bahasa Melayu merangkumi aspek leksikon dan tatabahasa.

Asmah Haji Omar menunjukkan bahawa unsur-unsur bahasa ini menunjukkan cara orang Melayu berfikir.

Misalnya, peribahasa dan metafora Melayu yang penuh dengan makna menunjukkan pemikiran yang kompleks dan halus.

Dalam bahasa Melayu, metafora sering diambil daripada alam semula jadi, iaitu menunjukkan pertalian rapat orang Melayu dengan alam semula jadi.

Peribahasa Melayu juga kerap menunjukkan prinsip moral masyarakat.

Contohnya, pepatah “biar putih tulang, jangan putih mata” menekankan kepentingan melindungi maruah dan keberanian.

Manakala, pepatah “seperti ketam mengajar anak berjalan betul” mengkritik ketidakjujuran dan menggalakkan kejujuran.

Asmah Haji Omar turut menyatakan bahawa melalui pemahaman yang mendalam tentang bahasa dan bagaimana fungsinya, kita dapat memahami betapa pentingnya persekitaran mereka dalam membina identiti dan cara orang Melayu berfikir.

Melalui analisis tersebut, Asmah Haji Omar menunjukkan bahawa bahasa bukan sahaja alat untuk menyampaikan makna secara literal malah makna kontekstual dan implisit bagi menunjukkan cara masyarakat berfikir dan kepercayaan mereka terhadap sesuatu perkara.

Selain itu, buku ini mengkaji bagaimana alam sekitar mempengaruhi bahasa dan cara orang berfikir dalam bahasa Melayu.

Banyak perkataan dalam bahasa Melayu berkaitan dengan alam semula jadi dan menggambarkan kehidupan orang Melayu pada ketika itu yang rata-rata hidup sebagai nelayan dan terlibat dalam pertanian.

Asmah Haji Omar juga membincangkan bagaimana bahasa membentuk identiti individu dan masyarakat.

Bahasa Melayu dianggap sebagai alat yang penting untuk mengekalkan identiti budaya dalam menghadapi zaman mendatang.

Bahasa Melayu menjadi benteng untuk mempertahankan jati diri dan warisan budaya masyarakat Melayu di tengah-tengah globalisasi dan pengaruh budaya asing.

Bahasa bukan sahaja alat komunikasi, malah menjadi simbol kebanggaan budaya dan identiti sesebuah bangsa.

Masyarakat Melayu dapat mengekalkan dan mewarisi nilai dan tradisi yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu melalui penggunaan bahasa yang berterusan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antara budaya Melayu dengan pemikiran, buku ini menjadi sumber yang berharga.

Bagi menyokong hujah tersebut, Asmah Haji Omar menggunakan pendekatan sistematik dan analitikal berserta contohcontoh yang relevan.

Kelebihan utama buku ini apabila menggunakan pendekatan akademik yang mendalam dan sesuai menjadi rujukan kepada penutur bahasa yang ingin melakukan analisis yang mendalam.

Bagi pembaca umum, gaya penulisan dalam buku mungkin kelihatan agak akademik dan memerlukan perhatian yang lebih besar untuk memahami konsep yang dibincangkan, iaitu lebih pada pemikiran dan konteks dalam bahasa Melayu.

‘Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu’ merupakan penemuan penting dalam penyelidikan budaya dan linguistik Melayu.

Ia memberikan perspektif yang mendalam tentang cara bahasa mempengaruhi dan mencerminkan pemikiran orang Melayu.

Oleh itu, ‘Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu’ menjadi bacaan wajib yang dapat memperluas horizon pengetahuan kita tentang peranan bahasa dalam kehidupan manusia dan identiti budaya Melayu secara khusus.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian