ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI.

Bakau Sarikei berpotensi jana pendapatan menerusi perdagangan karbon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Kawasan hutan paya bakau negeri termasuk di Sarikei berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu Sarawak menerusi perdagangan karbon, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan jangka panjang untuk pembangunan selepas 2030.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memiliki kelebihan besar kerana mempunyai kawasan taman negara bakau yang terbesar di Malaysia dan berupaya menyimpan karbon dalam jumlah tinggi.

Menurutnya, perkembangan ekonomi dunia kini semakin memberi tumpuan kepada usaha menangani perubahan iklim dan ini menjadikan ekosistem bakau sebagai aset strategik yang boleh dimanfaatkan oleh Sarawak.

“Dalam ekonomi dunia sekarang, terdapat apa yang disebut sebagai perdagangan karbon.

“Mengikut ilmu sains, antara kawasan yang paling berkesan menyimpan karbon ialah tanah bakau.

“Kita mempunyai kawasan taman negara bakau yang terbesar di Malaysia.

“Bayangkan berapa banyak karbon yang dapat disimpan dan kemudian dibeli oleh pihak luar yang mengeluarkan karbon tinggi untuk mengimbangi pelepasan mereka,” katanya pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei, di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah mengarahkan kajian dilaksanakan bagi menilai potensi sebenar sumber karbon yang tersimpan di kawasan bakau Sarikei dan kawasan sekitarnya.

“Hasil daripada perdagangan karbon itu kelak boleh disalurkan semula untuk membiayai pembangunan di Bahagian Sarikei dan kawasan tengah Sarawak.

“Saya sudah meminta kajian dibuat.
“Ini boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri dan hasil itu boleh kita agihkan untuk pembangunan yang dirancang di Bahagian Sarikei pada masa depan,” ujarnya.

Pada masa sama, Abang Johari berkata pembangunan Sarikei tidak hanya bergantung kepada sektor pertanian tradisional, sebaliknya akan dipacu oleh gabungan pelancongan, ekonomi hijau, teknologi dan pengangkutan yang lebih cekap.

“Pembesaran Lapangan Terbang Tanjung Manis yang bakal membolehkan pesawat jenis ATR beroperasi akan meningkatkan akses ke bahagian itu serta merancakkan industri pelancongan.

“Bahkan, pembukaan Jambatan Sarikei-Kuala Rajang yang memendekkan perjalanan kepada kira-kira 45 minit turut membuka ruang kepada pembangunan koridor pelancongan baharu melibatkan kawasan pesisir pantai dan sungai.

“Kita mahu membangunkan kawasan tepi sungai dan pesisir pantai sebagai produk pelancongan.

“Pelancong dari Jepun dan Korea misalnya gemar bermain golf, jadi kita melihat potensi untuk membangunkan kemudahan berkaitan di kawasan ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU