Bandaraya Miri mesra alam sekitar menjelang 2021

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menumpukan kepada lebih banyak inisiatif ke arah pembangunan mesra alam sekitar menjelang 2021 sebagai sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan status Bandaraya Miri.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata satu daripada bidang yang akan ditambah baik di bandar raya ini adalah ruang hijau di samping kawasan taman yang akan memanfaatkan semua pemegang kepentingan terutamanya mereka yang tinggal di bandar raya berkenaan.

“MBM akan melibatkan semua pemegang kepentingan terutamanya penduduk Miri, untuk merancang dan berganding bahu bagi kebaikan Miri,” katanya menerusi kenyataan selepas dilantik semula sebagai Datuk Bandar Miri bagi tempoh dua tahun lagi.

Sebagai tambahan, Yii, 63, berikrar untuk terus memberi tumpuan ke arah mempertingkatkan khidmat penyampaian MBM bagi memastikan Bandaraya Miri menjadi sebuah bandar yang bertenaga dan berdaya huni.

Dilantik pada 2016, Yii pemegang ijazah dalam bidang Geologi daripada Universiti Malaya adalah Datuk Bandar Miri ketiga selepas Miri dinaikkan status menjadi bandar raya pada 2005, sebuah bandar bukan ibu negeri yang pertama diberi status itu di negara ini.– BERNAMA

Foto: Sarawak Tourism

Suara Sarawak