TELUK INTAN: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhamad Alif Danish Abdul Rahim, 17, terpaksa mengulang kaji pelajaran di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di daerah Hilir Perak.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib itu menyifatkan suasana di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap agak ramai dan bising sehingga tumpuannya terbatas, namun dia bersyukur guru berkongsi nota penting secara dalam talian.
Menurut Bernama, anak bongsu daripada lima beradik itu mengambil tujuh mata pelajaran, tidak meletakkan sasaran tinggi dan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas peperiksaan yang bermula pada 23 Nov.
Ibunya, Jamilah Abdul Syukor, 49, menyatakan banjir kali ini antara yang terburuk dalam tempoh 17 tahun mereka menetap di Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong, dengan air mula masuk ke rumah sekitar jam 10 pagi Jumaat lepas dan mencecah paras lutut beberapa jam kemudian.
Setakat 8 pagi tadi, mangsa banjir di Perak meningkat kepada 380 orang daripada 108 keluarga, manakala PPS Dewan MPTI Langkap menempatkan 123 orang daripada 35 keluarga, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).






