KUCHING: Situasi banjir dan tanah runtuh di Bahagian Miri kekal membimbangkan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan trend peningkatan setakat 8 pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sebanyak tiga PPS masih beroperasi, melibatkan 59 ketua isi rumah (KIR) dengan 140 mangsa keseluruhan.
“Di PPS Dewan Bulan Sabit Merah, seramai dua KIR (empat mangsa) ditempatkan akibat banjir, manakala satu KIR (empat mangsa) dipindahkan susulan tanah runtuh.
“Jumlah tersebut tidak berubah setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, PPS SK Kampung Angus juga kekal menempatkan enam KIR terdiri daripada 23 mangsa.
Katanya, PPS SK Suai Niah pula mencatatkan peningkatan pemindahan dengan 50 KIR membabitkan 109 mangsa menjadikannya PPS paling ramai mangsa pada masa ini.
“Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air di kawasan terjejas, selain memastikan keperluan asas mangsa di PPS sentiasa mencukupi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, analisis model ramalan cuaca menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka berlaku pada 14 hingga 17 Disember ini.
Keadaan tersebut berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur semenanjung dan barat Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” menurut laporan itu.






