ARTIKEL

Bantu jenama francais Malaysia tembusi pasaran UK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LONDON: Satu jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais Malaysia dan United Kingdom (UK) akan diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem francais negara di UK, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha tersebut dilaksanakan sebagai platform sokongan untuk membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK menjelang tahun depan.

“Banyak peluang terbuka luas untuk syarikat Malaysia mengembangkan perniagaan francais di UK, terutama berkaitan produk halal termasuk makanan, perubatan tradisional dan kosmetik.

“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai francais ini. Saya akan memperoleh laporan sejauh mana ia boleh dilakukan dengan segera dan pencapaiannya akan saya lihat setiap enam bulan apabila saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet ini dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK di sini, semalam, sempena lawatan kerja empat hari ke UK.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga komited untuk membantu memperkukuh ekosistem francais melalui dasar pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan matlamat mencapai RM100 bilion jualan menjelang 2030.

Beliau berkata kerjasama lebih erat akan dilaksanakan bagi menggalakkan francais UK meneroka pasaran ASEAN melalui Malaysia dan pada masa sama mengembangkan jenama Malaysia ke pasaran UK melalui jawatankuasa berkenaan. – BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi