KAPIT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi berperanan membantu kerajaan mengurangkan kos kenaikan harga barangan khususnya di luar bandar.
Katanya, usaha itu dapat dilaksanakan melalui penglibatan koperasi dalam perniagaan pemborongan dan peruncitan.
“Koperasi memperoleh barangan dengan harga lebih rendah melalui pembelian secara kolektif dan ini membantu mengurangkan kos kepada pengguna.
“Pada masa sama, ia mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan dan barangan. Usaha ini membantu mengurangkan kos tambahan yang menyebabkan kenaikan harga barangan kepada pengguna.
“Disinilah peranan koperasi dituntut untuk bersama-sama membantu agenda kerajaan mengurangkan kos hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis ‘Ngentak Tiang’ Projek Stesen Minyak Koperasi Song Kapit Berhad, di KM5 Jalan Kapit-Song, baru-baru ini.
Ewon berkata, Koperasi Song Kapit Berhad banyak mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), terutama dalam aktiviti berkaitan pemborongan dan peruncitan.
“Koperasi ini menerima geran bantuan sebanyak RM97,000 di bawah program Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (Prospek) pada 2022 untuk tujuan menaik taraf gudang koperasi dan penambahbaikan laluan ke kawasan gudang.
“Pada tahun sebelumnya, koperasi juga diluluskan geran sebanyak RM100,000 di bawah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) bagi tujuan menaik taraf Sub-DC sedia ada dan pembelian lori.
“Dengan sokongan pihak KUSKOP dan SKM, diharap Koperasi Song Kapit Berhad dapat memanfaatkan segala bantuan demi kepentingan anggota koperasi dan semua penduduk di sekitar Song,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon berharap, Koperasi Song Kapit Berhad dapat menjayakan program penyeragaman harga yang diuar-uarkan oleh kerajaan untuk membantu penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan sama dengan harga di bandar besar.






