ARTIKEL

Bantu murid disleksia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tajuk buku: 10 Teknik Vakt Disleksia 

Penulis: Vijayaletchumy Subramaniam, Nadia Shuhada Abdan Nasir dan Mohd. Anuar Abdullah

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2023

Muka Surat: 54

Harga: RM16.00

Pengulas Buku: Jasmine Aidil Fitri

Sebelum mengulas buku ini dengan lebih lanjut, pembaca perlu memahami terlebih dahulu maksud VAKT yang merupakan sebahagian daripada tajuk buku ini. Maksud VAKT, iaitu akronim kepada empat deria utama, iaitu visual, auditori, kinestetik dan taktil. 

Dalam buku berjudul 10 Teknik VAKT Disleksia, VAKT merujuk kepada pendekatan multisensori yang digunakan dalam teknik pengajaran bagi membantu murid disleksia mengatasi masalah pembelajaran, khususnya yang berkaitan dengan pembalikan huruf.

Disleksia pula merupakan gangguan pembelajaran yang menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami kesukaran dalam membaca, menulis dan mengeja dengan lancar walaupun mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang normal. 

Kesukaran ini sering menjadi cabaran kepada mereka dalam proses pembelajaran sekiranya tidak diberikan pendekatan yang sesuai dan berkesan.

Buku karya gabungan Vijayaletchumy Subramaniam, Nadia Shuhada Abdan Nasir dan Mohd. Anuar Abdullah ini memfokuskan kepada masalah pembalikan huruf, iaitu antara kesukaran utama yang sering dihadapi oleh murid disleksia. 

Masalah pembalikan huruf merujuk kepada kecenderungan individu untuk keliru terhadap kedudukan huruf yang mempunyai bentuk hampir sama seperti b, d, p, q, m, w, n dan u. 

Keadaan ini menyebabkan mereka sukar mengenal pasti huruf dengan tepat, sekali gus menjejaskan kemahiran membaca dan menulis.

Buku ini memberi manfaat khususnya kepada golongan guru dan ibu bapa yang sedang berhadapan dengan kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia. 

Kandungannya disusun secara praktikal dan mudah difahami, selain menjadi panduan yang berguna dalam membantu anak-anak mengatasi kesukaran pembelajaran yang dihadapi mereka.

Menurut penulis, penggunaan pendekatan multisensori amat penting kerana setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. 

Oleh itu, pelibatan pelbagai deria dalam proses pembelajaran dapat membantu murid memahami dan mengingati sesuatu konsep dengan lebih mudah. 

Bagi individu yang mengalami disleksia dan sering berdepan kesukaran mengenal huruf, mengeja serta membaca, pendekatan VAKT dilihat mampu membantu mereka memproses maklumat dengan lebih berkesan berbanding kaedah pembelajaran secara konvensional.

Buku ini dibahagikan kepada tiga unit utama. Unit pertama merupakan konsep asas disleksia. 

Seperti yang dikatakan awal tadi, penulis menerangkan maksud disleksia sebagai gangguan pembelajaran yang memberi kesan terhadap kebolehan seseorang individu untuk membaca, menulis dan mengeja meskipun IQ mereka normal. 

Selain itu, penulis turut menjelaskan tentang jenis-jenis, punca, ciri-ciri umum serta simptom yang sering ditunjukkan oleh kanak-kanak yang berhadapan dengan disleksia. 

Penjelasan mengenai disleksia amat penting kerana ia membantu guru dan ibu bapa mengenal pasti petanda awal disleksia supaya mereka boleh melakukan intervensi dengan lebih awal. 

Pada masa sama, penjelasan ini juga dapat meningkatkan kesedaran bahawa disleksia bukan ketidakupayaan daripada segi intelektual, namun cabaran pembelajaran yang memerlukan pendekatan pengajaran yang bersesuaian. 

Sementara itu, unit kedua pula mengupas mengenai konsep pembalikan huruf yang merupakan antara masalah yang sering dihadapi oleh murid disleksia. 

Dalam bahagian ini, penulis menerangkan tentang maksud pembalikan huruf dengan jelas serta mengenalkan kaedah multisensori yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah tersebut. 

Selain itu, penulis turut memperkenalkan beberapa teknik pengajaran bagi membantu guru dan ibu bapa membimbing murid untuk mengenal huruf dengan lebih tepat. 

Bahagian ini amat penting kerana masalah pembalikan huruf juga merupakan antara cabaran utama yang menjejaskan keyakinan dan pencapaian akademik murid yang menghadapi masalah disleksia.

Unit terakhir dalam buku ini merupakan unit yang paling menarik kerana dapat menghimpunkan 10 teknik VAKT. Kesemua teknik ini dibangunkan berasaskan pendekatan multisensori yang melibatkan empat deria VAKT secara serentak. 

Melalui gabungan semua elemen tersebut, murid bukan sahaja dapat melihat dan mendengar sesuatu maklumat, malah melibatkan pergerakan badan serta sentuhan bagi mengukuhkan proses pembelajaran mereka. 

Pendekatan seperti ini mampu membantu murid membina hubungan yang lebih kukuh antara simbol, bunyi dan makna sesuatu perkataan. Bukan itu sahaja, mereka juga mampu meningkatkan keupayaan mereka untuk membaca dan menulis dengan lebih baik. 

Salah satu kekuatan utama buku ini apabila memfokuskan aspek praktikal. Hal ini kerana teknik-teknik yang diperkenalkan bukan sahaja diterangkan secara teori, malah turut disertakan dengan kaedah pelaksanaan yang mudah untuk difahami dan diaplikasikan. 

Justeru, buku ini sangat sesuai untuk digunakan oleh guru pendidikan khas dan ibu bapa sebagai panduan untuk membantu anak-anak dari rumah. 

Selain itu, buku ini turut menjelaskan tentang kepentingan memahami keunikan setiap murid disleksia. Setiap murid juga mempunyai gaya pembelajaran dan tahap kesukaran yang berbeza.

Oleh itu, penggunaan pendekatan multisensori yang fleksibel membolehkan proses pembelajaran disesuaikan dengan keperluan setiap individu. 

Sekiranya mereka berjaya memahami kemahiran tersebut, mereka boleh meningkatkan keyakinan diri selain mempunyai motivasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. 

Di samping itu, buku ini juga mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai disleksia. Hal ini demikian kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang peka tentang disleksia, sama ada dalam kalangan orang awam mahupun ibu bapa sendiri. 

Ramai yang beranggapan bahawa individu yang mengalami disleksia lemah dalam pelajaran, sedangkan hakikatnya mereka hanya memerlukan bimbingan, sokongan serta kaedah pembelajaran yang sesuai bagi membantu mereka mengatasi cabaran yang dihadapi akibat disleksia.

Oleh itu, melalui penjelasan teliti mengenai disleksia, buku ini secara tidak langsung mampu mengubah persepsi negatif terhadap disleksia. 

Hal tersebut menegaskan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya mereka diberikan peluang, pertolongan, sokongan dan kaedah pembelajaran yang tepat. 

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,