KUCHING: Perbuatan seorang petani merogol anak tirinya yang masih di bawah umur sehingga menyebabkan mangsa hamil membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 18 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap dua pertuduhan ketika kes tersebut hampir memulakan perbicaraan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dia dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 18 tahun, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 November 2025.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan berkenaan terhadap anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah bilik di tingkat atas sebuah kedai serbaneka dan runcit antara Januari hingga Februari 2025.
Perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa mengadu sakit perut pada 17 November 2025 sebelum meminta ibunya membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, ibu mangsa dikejutkan dengan kelahiran seorang bayi lelaki selepas anak perempuannya dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan, sedangkan dia tidak mengetahui bahawa remaja itu sedang hamil.
Susulan kejadian tersebut, ibu mangsa bertanyakan identiti individu yang menyebabkan kehamilan anaknya sebelum remaja berkenaan mendedahkan bahawa dia pernah melakukan hubungan seksual dengan bapa tirinya.
Pendedahan itu mendorong wanita berkenaan membuat laporan polis, sekali gus membawa kepada penahanan tertuduh pada 20 November 2025 bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mula melakukan hubungan seksual dengan anak tirinya sejak sebelum sambutan Hari Gawai pada 2024 dan perbuatan itu berterusan sehingga Mei 2025 ketika ibu mangsa tiada di dalam bilik.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh juga akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, selaras dengan Seksyen 27 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh diwakili peguam bela.



