ARTIKEL

Bapa, Zahora dan Seri Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA bersara daripada Jabatan Laut Sarawak, Haji Khalik Haji Ahmat — arwah bapa saya merupakan Ketua Juruenjin Laut di Jabatan Laut Sarawak.

Itu adalah kemuncak jawatan yang beliau dapat pergi, memandangkan persekolahannya tidak tinggi.

Berdasarkan pengalaman dan ‘rank-in-file’, beliau mendaki satu persatu jawatan dengan kerja keras dan banyak belajar daripada mereka yang lebih tua dan berpengalaman, sambil belajar sendiri melalui buku.

Rezekinya, beliau pada usia mudanya, pernah bekerja sebagai kuli kimpalan di kedai pertukangan besi milik tauke Cina, manakala untuk kerja-kerja mekanik, belajar daripada abang iparnya yang kebetulan seorang mekanik bot.

Justeru tidak hairanlah beliau cepat belajar apabila ditawarkan bekerja di Jabatan Laut Sarawak, dan pernah bertuankan ‘Pengarah’ berbangsa Inggeris, Melayu Semenanjung, Cina serta Melanau.

Sepanjang kerjayanya, beliau memang cukup cekap dan berpengalaman.

Dipanggil ‘Chief’ atau ‘Cikgu Khalik’ kerana banyak mempunyai puluhan ribu anak murid (bukan sahaja daripada Jabatan Laut Sarawak, malah daripada agensi dan jabatan lain serta syarikat swasta untuk menduduki peperiksaan pelaut).

Beliau sehingga tahu tentang bahagian mana enjin kapal rosak, dengan cara mendengar sahaja.

Itu menyebabkan kepakarannya disanjungi.

Ramai pelajarnya merupakan kelasi yang tidak tahu membaca dan mengira.

Anehnya, hasil kerja keras, termasuk berulang kali menyertai peperiksaan yang sama, mereka lulus.

Mereka naik gred dalam jabatan dan dengan sijil yang ada boleh menjadi senior malah ketua juruenjin dalam kapal. Bagaimana arwah melakukannya, jangan tanya saya.

Sebab beliau memiliki cara sendiri untuk mengajar mereka.

Tidak semua para pelajarnya mewah, terutama yang bekerja dalam jabatan. Justeru mereka yang “tuisyen” dengannya, akan memenuhi ruang beranda rumah kami.

Belajar dari petang hingga tengah malam.

Berbulan-bulan lamanya.

Ibu saya, dengan sabar menyediakan makan minum semua pelajar ini.

Manakala bagi yang tidak mampu untuk menyewa bilik hotel, arwah menyediakan bilik untuk mereka tinggal dengan kadar sewa yang rendah.

Ini termasuk mereka yang berbangsa Cina.

Yang ini lagi dahsyat, pandai mengira tapi hanya tahu berbahasa pasar.

Rumah kami di Kampung No Enam, Kuching ketika itu umpama kelas dewasa yang meriah.

Bayangkan saya membesar dalam suasana itu.

Malangnya ilmu yang ada padanya, tidak mengalir kepada saya kerana tidak minat.

Arwah bapa bukan seorang jurutera.

Tetapi dalam kalangan jurutera laut, ramai yang agak segan dengan beliau.

Ketika menjadi Ketua Bahagian Juruenjin jabatan, ada kala bekas anakanak muridnya yang mengetuai unit enjin kapal-kapal tertentu, sehingga menghubunginya apabila ketandusan idea untuk membaiki mahupun mengesan kerosakan kapal mereka.

Menariknya, beliau hanya mendengar melalui telefon (talian rumah atau pejabat), sebelum mencadangkan kerja-kerja pembaikan atau mengesan terus bahagian mana yang bermasalah.

Itulah hebatnya mereka yang belajar bekerja secara manual dan praktikal.

Arwah bapa hanya ralat apabila dunia enjin kapal mula menggunakan komputer, sebelum beralih kepada digital. Ia bukan dunia enjin yang dikuasainya berpuluh-puluh tahun sebelum itu.

Untuk kemahiran baharu ini, perlu ada jurusan lain yang perlu diikuti oleh pelayar.

Jika masih hidup, pasti beliau pening, jika mendapat tahu pada hari ini kapal-kapal yang belayar tidak lagi menggunakan minyak diesel, sebaliknya ammonia dan ammonia hijau.

Namun ketika hampir menutup usia, beliau pernah bercakap tentang potensi perubahan itu.

Arwah bapa bersara pada 21 Disember 2000, setelah bekerja di Jabatan Laut Sarawak selama 35 tahun lima bulan.

Ketika itu usia persaraan ialah 55 tahun.

Beliau memilih untuk “mengajar” selepas pencen, setelah ditawar oleh sebuah pusat mengajar yang berpangkalan di Sibu.

Jika memilih untuk belayar dan bekerja dengan syarikat swasta, dalam tempoh sekurangkurangnya lima tahun, beliau sudah pasti boleh tersenyum dengan pendapatan menjangkau lima angka ketika itu.

Tetapi beliau memilih untuk menurunkan ilmu kepada para pelayar muda, sambil membantu pusat mengajar tersebut, yang pada waktu ketandusan tenaga pengajar.

Apabila Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke pada Isnin, ia mengembalikan nostalgia tentang arwah bapa dan abangnya.

Kedua-duanya bekerja dalam bidang yang sama dan menjadi Ketua Juruenjin.

Antara kapal yang ditangani mereka pada waktu itu termasuklah Zahora, Seri Sarawak, Merpati, Undan, Melaban, Jerijeh dan macammacam lagi.

Arwah bapa turut bertugas di kedua-dua kapal rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Zahora dan Seri Sarawak.

Berdasarkan catatan sejarah, kapal Zahora ini dibeli daripada Mr Oliver E.G. Spicer dari selatan Perancis.

Pada 3 Februari 1966, kakitangan Jabatan Laut Sarawak telah memulakan pelayaran membawa kapal ini dari Perancis dan tiba di Kuching pada 21 Mac.

Kapal yang pada asalnya dinamakan Shioma ini kemudian menjalani renovasi di Limbungan dan Kerja Kejuruteraan Brooke.

Pada 29 Julai 1966, kapal ini dinamakan semula dan di “commissioned” sebagai “M.Y. Zahora” oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Dayang Hajjah Masniah Abdul Rahman.

Berdasarkan rekod, kapal ini sepanjang 107 kaki, seberat 158 tan dan dijana oleh enjin diesel berkembar Gardner 150 kuasa kuda.

Kapal layar ini digunakan sehingga tahun 1981 sebelum Kerajaan Sarawak membeli sebuah lagi kapal mewah, yang dikenali sebagai Seri Sarawak.

Saya pernah berada di dalam kedua-dua kapal ini ketika berlangsungnya Regata Sarawak mahupun acara kapal berhias, ketika zaman kanak-kanak.

Ia menghadirkan pengalaman yang luar biasa. Namun sering kali diperhatikan kerana takut kami jatuh ke dalam sungai.

Seingat saya, ketika ikut belayar, paling jauh pun hingga ke Santubong.

Selepas kapal ini dilupuskan, ia dibeli oleh sebuah syarikat perkapalan di Miri.

Ketika saya berkunjung ke kapal tersebut di Kuala Baram beberapa tahun yang lepas, amat sedih melihat kapal bersejarah itu terbiar.

Dari segi sejarah, kapal laut sememangnya menjadi medium pengangkutan penting untuk Yang di-Pertua Negeri, malah Ketua Menteri Sarawak pada waktu tersebut.

Ia digunakan untuk melawat ke segenap pelosok negeri, yang mempunyai sunga-sungai panjang.

Dan, ada ketikanya, kapal ini digunakan sebagai tempat penginapan jika tiada rumah rehat dan hotel.

Arwah bapa dan rakannya, Kapten Awang Saed pernah membawa kapal Seri Sarawak ke Pontianak, Indonesia bagi meraikan persandingan anak Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce.

Manakala menggunakan kapal Melaban, beliau pernah belayar ke Pahang bagi mendapatkan lembu ke Sarawak, yang kekurangan bekalan pada waktu itu.

Terima kasih Kerajaan Sarawak kerana mengembalikan nostalgia bahawa pelabuhan Kuching juga sibuk suatu ketika dahulu, selain daripada memiliki perahu sampan.

Penting juga sejarah maritim ini turut dirakamkan kerana telah terbukti, suatu ketika dahulu laut dan sungai adalah pengangkutan penting di wilayah ini.

Mungkin penting untuk model ataupun replika pelbagai jenis bot ekspres dipulihara, selain digambarkan semula kesibukan Pasar Ceko, Godown No 8 dan No 10 – yang kesemuanya sudah menjadi Tebingan Kuching.

Ini semua tidak akan diingati lagi oleh generasi baharu dan tidak akan difahami oleh generasi hidrogen.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan