ARTIKEL

BARISAN pelakon yang dibintangi oleh Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim

Bawa mesej pemuliharaan laut melalui nyanyian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERTANDINGAN nyanyian The Last Dive – Takdir Terakhir bukan sekadar membuka peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keupayaan orang kurang upaya (OKU) dan kepentingan memelihara laut.

Menerusi pertandingan itu, peserta berpeluang menyampaikan mesej filem berkenaan melalui nyanyian, sekali gus menggalakkan pelibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memulihara alam sekitar.

Penerbit eksekutif filem tersebut, Datin Dr. Wendy Wong berkata, pertandingan itu diperkenalkan sebagai pendekatan kreatif untuk meningkatkan pemahaman masyarakat, khususnya pelajar, tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan menarik minat orang ramai untuk menonton filem berkenaan yang mengetengahkan keberanian, keyakinan diri dan keupayaan individu OKU untuk menjalani kehidupan secara berdikari.

“The Last Dive – Takdir Terakhir membawa mesej keterbatasan fizikal bukan penghalang bagi seseorang untuk mengejar impian, membina keyakinan diri dan menjalani kehidupan secara berdikari.

“Justeru, filem ini turut mengetengahkan keberanian serta potensi individu OKU, selain mengingatkan masyarakat bahawa usaha melindungi laut merupakan tanggungjawab bersama,” katanya kepada Suara Sarawak, baru-baru ini.

Mengulas keistimewaan filem itu, Wendy berkata, The Last Dive – Takdir Terakhir menggabungkan kisah pengembaraan bawah laut dengan isu pemuliharaan marin, termasuk ancaman pencemaran dan kegiatan yang membahayakan hidupan laut.

Katanya, antara keunikan filem berkenaan ialah pelibatan lima individu OKU sebenar yang melakukan sendiri aksi menyelam tanpa menggunakan kesan visual sebagai pengganti.

“Mereka ialah individu OKU sebenar yang membawa pengalaman hidup masing-masing ke dalam filem ini.

“Mereka tidak mahu dikasihani, sebaliknya hanya memerlukan peluang untuk menunjukkan kemampuan,” ujarnya.

Tambah beliau, idea untuk menghasilkan filem itu tercetus selepas beliau bertemu dengan seorang pengajar selam skuba pada festival filem di Amerika Syarikat pada 2022.

Pertemuan tersebut memperkenalkannya kepada kisah seorang wanita yang menggunakan kerusi roda dan menghidap kanser tahap akhir, namun masih berhasrat untuk mencuba aktiviti menyelam sebelum meninggal dunia.

“Pengajar itu berkongsi kisah seorang wanita yang menggunakan kerusi roda dan menghidap kanser tahap akhir, namun masih menyimpan hasrat untuk mencuba aktiviti menyelam sebelum meninggal dunia.

“Pengalaman wanita itu yang berasa bebas bergerak ketika berada di bawah air memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan filem ini, selain memberi mesej bahawa peluang dan pengalaman hidup tidak seharusnya dibatasi keadaan fizikal seseorang,” katanya.

Bagi merealisasikan penghasilan filem tersebut, kira-kira 90 peratus penggambaran dilakukan di Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong, Terengganu, dengan sokongan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Wendy berkata, proses penggambaran memerlukan persediaan rapi kerana pelakon dan kru yang terlibat dalam adegan bawah laut perlu menjalani latihan serta mendapatkan lesen menyelam.

“Bahkan, pelakon dan kru yang terlibat dalam adegan bawah laut turut menjalani latihan dan mendapatkan lesen menyelam.

“Justeru, pembikinan filem ini bukan sesuatu yang mudah, terutamanya dalam mencari bakat yang sesuai serta memastikan semua pihak mempunyai komitmen dan tenaga untuk menjalani penggambaran dalam keadaan yang mencabar,” ujarnya.

Selain mengetengahkan keupayaan golongan OKU, filem itu turut memaparkan ancaman terhadap ekosistem marin, termasuk pencemaran akibat sisa buangan dan pukat yang ditinggalkan di laut.

Menurut Wendy, pencemaran tersebut boleh mengancam hidupan marin seperti penyu yang berisiko terperangkap dalam sampah atau mati selepas menelan sisa buangan manusia.

“Filem ini bukan semata-mata hiburan kerana penonton akan memperoleh pengetahuan yang nilainya tidak boleh dilukur hanya berdasarkan harga tiket.

“Kita mungkin tidak mampu melakukan perkara besar untuk menyelamatkan laut, tetapi kita boleh bermula dengan tidak membuang sampah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pertandingan nyanyian The Last Dive – Takdir Terakhir diperkenalkan bagi memperluas penyampaian mesej filem tersebut menerusi pelibatan masyarakat.

Menurut Wendy, pertandingan itu terbuat kepada tiga kategori utama, iaitu kanak-kanak, OKU dan dewasa. Setiap kategori mempunyai peranan tersendiri dalam meningkatkan kesedaran tentang mesej yang disampaikan menerusi filem berkenaan.

“Bagi kategori kanak-kanak, penyertaan diharap dapat memupuk kesedaran sejak awal tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Kategori OKU pula memberikan ruang kepada peserta untuk memperlihatkan keupayaan, keberanian dan semangat berdikari.

“Sementara itu, kategori dewasa menggalakkan penyertaan golongan tersebut membimbing generasi muda serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemuliharaan laut,” jelasnya.

Untuk menyertai pertandingan tersebut, peserta perlu merakam video nyanyian bahagian korus lagu tema filem berkenaan mengikut kreativiti masing-masing sebelum memuat naik rakaman itu ke Instagram.

“Peserta juga perlu menggunakan ciri kolaborasi dengan akaun Instagram rasmi The Last Dive – Takdir Terakhir.

“Selain itu, mereka perlu melengkapkan borang penyertaan dalam talian dengan memberikan alamat e-mel,” ujarnya.

Pertandingan itu turut menawarkan pelbagai hadiah kepada peserta, termasuk wang tunai, penginapan, tiket wayang dan baucar.

Dalam pada itu, Wendy berkata, 10 finalis terbaik masing-masing akan menerima wang tunai RM1,500, penginapan selama dua malam di Summer Bay serta empat hidangan.

“Pemenang tempat kedua pula bakal menikmati penginapan selama satu malam di Paya Hotel, termasuk sarapan untuk dua orang.

“Sementara itu, pemenang tempat ketiga akan menerima penginapan selama satu malam di Happy Valley Eco Farm.

“Selain itu, peserta turut berpeluang memenangi baucar tunai daripada Giacomo serta pelbagai hadiah lain yang disediakan oleh penganjur,” tambahnya.

Dalam usaha memperluas kesedaran, Wendy berkata, pihaknya turut merancang program mendekati sekolah bagi memperkenalkan mesej filem itu kepada pelajar.

“Saya berharap pendekatan ini dapat membantu generasi muda memahami kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta menghargai keupayaan individu OKU.

“Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas sokongan yang diberikan serta peluang untuk berkongsi mesej berkenaan dengan para pelajar,” katanya.

Wendy turut berharap pertandingan nyanyian itu dapat menarik lebih ramai orang untuk menyokong filem berkenaan, sekali gus memperluas kesedaran bahawa pemuliharaan laut memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kami berharap semua pihak dapat bersatu hati untuk menyebarkan mesej bahawa pemuliharaan laut adalah tanggungjawab kita bersama.

“Marilah kita memainkan peranan masing-masing untuk melindungi laut, bukan sahaja demi Malaysia, malah demi seluruh dunia,” ujarnya.

The Last Dive – Takdir Terakhir menghasilkan Faiz, bekas pemain bola sepak yang lumpuh selepas menjadi mangsa langgar lari, dan Amelia, seorang pengajar selam skuba yang membantunya meneroka dunia bawah laut.

Konflik tercetus apabila pengendali bot mereka, Kamal, didapati terbabit dalam kegiatan pengemboman ikan dan pencurian batu karang, selain menyimpan kaitan dengan kemalangan yang mengubah kehidupan Faiz.

Filem terbitan Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn. Bhd. itu dibintangi Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim, selain memapilkan Datuk Dr. Ras Adiba Mohd. Radzi serta penyanyi Fauziah Latiff sebagai pemanipul khas.

The Last Dive – Takdir Terakhir dijadualkan menemui penonton di pawagam tempatan pada 3 Disember depan, bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa.

BERITA LAIN

Muay Thai Sarawak buru bakat baharu

PENGANJURAN Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10, 2026 bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk membuktikan keupayaan masing-masing. Kejohanan ikonik Persatuan Muaythai Negeri

BERITA TERBARU

Bendung keganasan rumah tangga tanggungjawab bersama

SARIKEI: Masyarakat digesa berani melaporkan kes keganasan rumah tangga bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan sewajarnya, tanpa membiarkan stigma dan ancaman menghalang mereka mendapatkan bantuan. Timbalan