KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM15,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas kesalahan membenarkan tiga orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) berada di dalam kenderaannya.
Sahrim Cicci, mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif yang dibacakan jurubahasa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai.
Mengikut pertuduhan alternatif, dia yang merupakan pemandu van membenarkan tiga orang PATI berada dalam kenderaan jenis van Mazda ketika di tepi Jalan Tebedu-Serian, sekitar jam 10 pagi, 13 Januari 2021.
Oleh itu, dia didakwa Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis telah menahan sebuah van yang dipandu oleh tertuduh kerana dipercayai membawa PATI, seterusnya mendapati terdapat seramai lapan orang penumpang warga Indonesia berada di dalamnya.
Lima daripada penumpang tersebut mempunyai pasport sah, manakala dua lagi bernama Irsan Palari dan Sudirman Pahri telah tinggal lebih masa di Malaysia serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili dua penguam iaitu Ernie Natasha Azman dan Osman Ibrahim.


