LAWAS: Dugaan menimpa seorang bayi lelaki berusia lima bulan apabila disyaki menjadi mangsa penderaan, selepas doktor di Hospital Lawas menemui kecederaan mencurigakan ketika memberikan rawatan.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, bayi itu dibawa ibunya ke hospital kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu kerana mengalami selesema dan batuk.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Liong, susulan penemuan tersebut, pihak hospital segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Bertindak atas laporan diterima katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai bapa kepada bayi berkenaan di rumahnya untuk membantu siasatan.
“Hasil saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya lagi.
Menurut Liong, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Liong berkata individu yang menjaga kanak-kanak dan menyebabkan pengabaian atau pendedahan sehingga boleh mendatangkan kecederaan fizikal atau emosi boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, suspek juga boleh dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.



