ARTIKEL

Bazar Mukah simbol kebersamaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali tibanya Ramadan, suasana di sekitar daerah Mukah berubah wajah dan menjadi lebih meriah.

Deretan gerai serta aroma pelbagai juadah berbuka puasa menjadi tarikan utama masyarakat setempat.

Bazar Ramadan Mukah bukan sekadar lokasi untuk membeli makanan, sebaliknya menjadi tempat memperkukuh ukhuwah serta menjana pendapatan komuniti setempat.

Majlis Perasmian Bazar Ramadan Mukah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, bersama- sama ADUN Tellian, Royston Valentine, pada hari pertama bazar tersebut beroperasi.

Kehadiran kedua-dua wakil rakyat itu menunjukkan komitmen mereka menyokong pelaksanaan bazar di Mukah.

Sejak awal petang, orang ramai mula mengunjungi kawasan tersebut bagi membeli juadah.

Kehadiran pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Mukah, malah ada yang datang dari kawasan luar seperti Balingian dan Dalat.

Bagi mereka, kunjungan ke Bazar Ramadan sudah menjadi rutin tahunan yang tidak pernah dilupakan.

Pelbagai makanan tradisional dan moden ditawarkan di Bazar Ramadan Mukah.

Antara yang menjadi tumpuan adalah nasi beriani, kuih-muih tradisional, air balang serta aneka lauk-pauk kampung yang membangkitkan selera.

Tidak ketinggalan, juadah tradisi masyarakat Melanau seperti umai, ikan bakar dan tebaloi turut dijual bagi memenuhi permintaan ramai.

Keunikan makanan tempatan ini menambah identiti tersendiri kepada bazar berkenaan.

Selain makanan berat, terdapat juga gerai yang menjual pencuci mulut seperti puding, kek dan aneka pastri.

Kepelbagaian pilihan ini memudahkan pengunjung membeli juadah untuk seisi keluarga.

Bazar Ramadan Mukah juga menjadi platform kepada usahawan kecil dan sederhana untuk memperkenalkan produk masing-masing.

Ada antara mereka yang menghantar biskut dan kuih kering untuk dijual di bazar tersebut serta menerima tempahan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Langkah ini memudahkan orang ramai membuat tempahan awal.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran operasi, pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.

Aspek kebersihan dan keselamatan makanan diberi perhatian bagi menjamin kesejahteraan pengguna.

Pengendali makanan turut diingatkan supaya mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan, termasuk memakai apron dan penutup kepala.

Langkah ini penting bagi mengelakkan risiko keracunan makanan serta memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin.

Selain itu, bazar Ramadan juga menjadi tempat pertemuan rakan lama dan sanak saudara.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembaziran makanan.

Amalan membeli mengikut keperluan wajar dipupuk agar selari dengan tuntutan Ramadan.

Justeru, Bazar Ramadan Mukah bukan sekadar lokasi jual beli, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan masyarakat setempat.

Kewujudannya setiap tahun membuktikan tradisi ini terus subur dalam jiwa masyarakat.

Selagi Ramadan disambut dengan penuh kesyukuran, selagi itulah bazar Ramadan akan terus menjadi nadi kehidupan dan ekonomi di Mukah.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi