ARTIKEL

Firdaus bercakap pada sidang media BBCON 2026 di Pejabat BESarawak, hari ini. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

BBCON 2026 perkenal penyertaan akademik buat pertama kali

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Borneo Blockchain Conference (BBCON) 2026 akan memperkenalkan penyertaan akademik buat julung kalinya bagi menghubungkan penyelidikan, inovasi dan aplikasi praktikal industri dalam pembangunan teknologi digital.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah berkata, penyertaan akademik itu selaras dengan model Quintuple Helix dalam BBCON 2026 yang merapatkan hubungan antara akademia, industri dan komuniti dengan sokongan kerajaan secara mampan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi tidak terhenti di peringkat akademik semata-mata, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri.

“Justeru, ahli akademik dari seluruh dunia akan dijemput untuk membentangkan kertas penyelidikan, berkongsi dapatan serta mempamerkan inovasi berkaitan block rantai dan teknologi digital.

“Penyertaan ini mampu memberikan pandangan lebih luas terhadap hala tuju perkembangan teknologi pada masa depan, selain mencerminkan komitmen UiTM Sarawak sebagai sebahagian daripada BBCON 2026,” katanya pada sidang media majlis berkenaan di Pejabat Business Events Sarawak (BESarawak), hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, BBCON 2026 memperluas kerangka Quadruple Helix tradisional dengan memasukkan elemen kelestarian bersama kerajaan, akademia, industri dan komuniti bagi memastikan kerjasama serta impak jangka panjang.

“UiTM Sarawak percaya bahawa penyelidikan dan inovasi perlu melangkaui penerbitan akademik serta makmal,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi objektif BBCON 2026 adalah sejajar dengan aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Tindakan Digital Ekonomi Sarawak 2030 yang menekankan inovasi, pembangunan bakat, penerimagunaan digital dan pertumbuhan berasaskan pengetahuan.

Tegasnya, UiTM Sarawak bersama rakan kerjasamanya, Kuching Blockchain Technology Association (KBTA), komited menyediakan platform yang menyokong Kerajaan Sarawak dalam mencapai aspirasi tersebut.

Sementara itu, Presiden KBTA Gan Beng Yoke berkata, tema persidangan tahun ini ialah “From Vision to Execution: Building Secured Digital Future”.

Ujarnya, fokus itu mencerminkan penekanan global yang semakin meningkat terhadap aspek kepercayaan dan keselamatan apabila teknologi digital semakin diterapkan dalam pelbagai industri serta komuniti.

“BBCON 2026 turut membuka lebih banyak peluang kepada syarikat pemula dan bakat muda untuk berhubung secara langsung dengan pelabur, rakan strategik serta pemimpin industri,” tambahnya.

Pada masa sama, katanya, KBTA akan memperkukuh kerjasama dengan UiTM Sarawak bagi menyediakan peluang lebih luas kepada pelajar tempatan dan penyelidik untuk mengambil bahagian serta berkembang dalam ekonomi digital.

Persidangan itu dijadual berlangsung dari 18 hingga 19 November di voco by IHG Hotel Kuching, dengan pihak penganjur berhasrat menjemput Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merasmikan acara berkenaan.

Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web rasmi BBCON 2026, manakala butiran pendaftaran akan diumumkan pada hujung bulan ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU