ARTIKEL

BEBAN tugas penyara keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM kebanyakan masyarakat, suami lazimnya dilihat sebagai provider atau penyara utama keluarga, iaitu fi gura yang memastikan segala keperluan asas terjamin, daripada makanan di atas meja hinggalah tempat berteduh yang selesa.

Namun, peranan itu tidak berhenti di situ, sebaliknya turut merangkumi sokongan emosi, perhatian harian dan bimbingan berterusan buat pasangan serta anak-anak. Pendek kata, dialah antara tunjang yang memastikan keluarga terus stabil dan sejahtera.

Suami yang mampu memikul tanggungjawab ini dengan baik lazim dianggap suami idaman oleh ramai wanita.

Menjadi penyara bukan sekadar soal kerja keras atau pendapatan semata-mata.

Ia juga soal komitmen, tanggungjawab dan keprihatinan yang memastikan keluarga bukan sahaja terselamat dari segi material, malah turut diberi rasa aman, dihargai dan disayangi.

Suami yang sering mengambil berat tentang keselesaan isteri dan anak, mendengar masalah mereka, memberi galakan moral dan rohani, serta menjadi pemimpin rumah tangga yang adil dan penyayang, biasanya lebih dihormati dan dikagumi.

Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2024 menunjukkan bahawa purata isi rumah di Malaysia mempunyai sekitar 1.8 penyumbang pendapatan.

Ini menunjukkan bahawa bagi banyak rumah, suami mungkin menjadi penyumbang utama.

Seterusnya, data menunjukkan 44.8 peratus isi rumah di Malaysia bergantung kepada hanya satu penyumbang pendapatan, yang dalam banyak kes ialah suami.

Di samping itu, kajian daripada Khazanah Research Institute (KRI) mendapati bahawa hampir sembilan daripada 10 suri rumah (88.9 peratus) bergantung sepenuhnya kepada suami untuk sokongan kewangan.

Statistik ini menunjukkan peranan suami sebagai penyara bukan sahaja normatif, tetapi realiti bagi majoriti keluarga tradisional, sekali gus meletakkan beban tanggungjawab yang besar di bahunya.

Dengan beban material yang sedemikian, peranan provider tidak boleh dipandang ringan.

Suami perlu berusaha gigih untuk mendapatkan pendapatan yang stabil, merancang kewangan dengan bijak, serta menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan keluarga, iaitu pendidikan anak, perubatan, simpanan dan sebagainya.

Namun, jika tanggungjawab ini dilaksanakan dengan semangat amanah dan kasih sayang, hasilnya jauh lebih bermakna daripada nilai wang semata-mata.

Perasaan selamat, dihargai dan dicintai oleh pasangan dan anak-anak menjadikan keluarga lebih bahagia dan harmoni.

Menjadi provider bukan hanya soal lelaki bekerja keras.

Ia juga memerlukan kebijaksanaan emosi dan rohani mendengar keluh-kesah pasangan, memberi semangat, menasihati, mendorong isteri dan anak-anak ke arah kebaikan, serta mendidik dengan adab dan kasih sayang.

Suami yang hanya fokus pada wang tetapi lupa mendidik dan menyayangi mungkin gagal menjadi suami idaman di hati isteri Tambahan pula, dalam dunia moden ini, ramai wanita turut bekerja untuk membantu memenuhi keperluan keluarga.

Walaupun peranan suami sebagai penyara utama tetap dihargai kerana sejumlah rumah kini mempunyai dua penyumbang pendapatan, nilai suami sebagai provider idaman tidak semestinya hilang. Peranan itu hanya berubah bentuk.

Suami boleh menjadi penyumbang utama, penyumbang bersama-sama atau memberikan sokongan rohani dan emosi yang sangat diperlukan.

Justeru, suami idaman bagi wanita bukan sematamata lelaki yang kaya dan berkemampuan, tetapi lelaki yang bertanggungjawab, amanah, penyayang, prihatin dan sentiasa berusaha untuk kebahagiaan serta kesejahteraan keluarga.

Statistik menunjukkan banyak keluarga masih bergantung kepada suami sebagai pencari nafkah utama, tetapi nilai kasih sayang, hormat, kejujuran dan komitmen sejati itulah yang menjadikan seseorang suami benar-benar idaman.

Dengan mendalami peranan ini, ia bukan sebagai beban, tetapi satu amanah mulia, iaitu suami berpeluang menjadi sumber bahagia dan ketenangan keluarga, serta dilihat sebagai ‘provider idaman’ dalam erti sebenar.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU