Keunikan beg ros ciptaan Caroline Jok, 65, bukan sahaja berjaya menarik perhatian pencinta kraf tanganperhatian pencinta kraf tangan tempatan, malah turut mendapat sambutan daripada pelanggan luar negara.
Wanita berketurunan Kayan dari Long Bedian itu telah menghasilkan beg berkenaan sejak lapan tahun lalu dengan mengadaptasikan motif tradisional lavung kepada rekaan yang lebih moden dan eksklusif.
Bagi Carol, penghasilan beg ros bukan sekadar sumber pendapatan, malah menjadi usaha memelihara warisan seni anyaman yang dipelajarinya sejak usia muda.
Menurutnya, idea menghasilkan beg ros tercetus daripada motif lavung yang sering digunakan oleh masyarakat Orang Ulu sebelum diolah menjadi rekaan beg yang mempunyai identiti tersendiri.
“Saya menamakan produk ini sebagai beg ros verana bentuknya menyerupai bunga ros.
“Setakat pengetahuan saya, saya merupakan orang pertama yang menghasilkan beg seperti ini di Sarawak sejak lapan tahun lalu,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, baru-baru ini.
Caroline berkata, minat terhadap seni kraf tangan sebenarnya dipupuk oleh ibunya sejak beliau masih kecil.
Namun, beliau mengakui tidak begitu berminat untuk menceburi bidang tersebut ketika muda.
“Hanya selepas ibu meninggal dunia, saya mula sedar bahawa kemahiran yang dimiliki beliau sangat berharga. Saya berasa sayang jika warisan itu tidak diteruskan.
“Sejak usia 16 tahun lagi, saya sudah membantu ibu membuat beg rotan. Pengalaman itu banyak membantu apabila saya mula serius dalam bidang kraf tangan,” katanya.
Beliau berkata, keinginannya untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza mendorongnya mencari idea baharu dalam penghasilan kraf tangan.
Segalanya bermula apabila beliau melihat beg buatan tangan milik rakannya.
“Saya bertanya siapa yang membuat beg itu dan rakan saya memberitahu bahawa dia sendiri yang membuatnya.
“Namun, itu beg pertama dan terakhir yang dihasilkannya kerana terlalu sukar untuk dibuat.
“Saya membeli beg tersebut dan dari situ, saya mula mengkaji serta belajar menghasilkan beg itu sendiri,” katanya.
Menurut Caroline, proses mempelajari teknik penghasilan beg ros bukanlah sesuatu yang mudah kerana ketika itu tidak banyak sumber rujukan yang dapat diperoleh.
Beliau mempelajari teknik tersebut secara berdikari tanpa tunjuk ajar daripada sesiapa.
“Memang susah. Saya menangis ketika mula-mula belajar menghasilkan beg ini kerana tidak tahu di mana hendak bermula.
“Saya cuba dan terus mencuba sehingga berjaya. Selepas setahun, barulah saya memperoleh rujukan tambahan, namun saya bersyukur kerana berjaya mempelajarinya sendiri,” katanya.
Ketika mula menghasilkan beg ros, beliau mengambil masa kira- kira seminggu untuk menyiapkan sebuah beg.
Kini, hasil daripada pengalaman dan latihan yang berterusan, beliau hanya memerlukan sehari untuk menyiapkan sebuah beg.
“Pada mulanya, corak ros yang dihasilkan lebih besar. Kini kami menghasilkan corak yang lebih kecil dan halus supaya beg kelihatan lebih kemas serta menarik,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa bahan utama yang digunakan ialah kertas kraf rotan yang mempunyai ketahanan tinggi.
“Sebelum menggunakannya, saya menjalankan ujian sendiri dengan merendam bahan tersebut selama dua hari, namun warnanya tidak luntur.
“Apabila saya yakin akan kualitinya, barulah saya menggunakannya walaupun harganya agak mahal,” katanya.
Menurut Caroline, kos bahan mentah merupakan antara cabaran utama dalam menghasilkan beg ros.
Setiap beg memerlukan kira-kira dua gulung bahan untuk disiapkan, dan harga bahan tersebut semakin meningkat.
“Disebabkan itu, saya membuat tempahan terus dari China bagi mendapatkan bahan yang berkualiti dan sesuai untuk digunakan,” katanya.
Meskipun berdepan cabaran ketika pandemik COVID-19, beliau tetap meneruskan penghasilan beg ros dan memasarkan produk tersebut secara dalam talian.
“Ketika pandemik, saya menjual melalui Facebook dan WhatsApp. Syukur kerana pelanggan terus memberi sokongan dan kami menerima banyak tempahan berulang,” katanya.
Usahanya itu membolehkan beliau menjadi antara 14 wanita yang menerima pengiktirafan dalam satu majlis di Kuala Lumpur.
Selain pasaran tempatan, beg ros turut mendapat sambutan daripada pelanggan luar negara termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan tertar dengan reka bentuk yang uni dan berbeza daripada produk lain di pasaran.
Beliau turut menerima tempahan daripada beberapa individ kenamaan yang mengetahui produk tersebut melalui media sosial dan pameran kraf tangan.
Tambahan pula, beliau gembira apabila hasil kerjanya dihargai orang lain.
Dalam pada itu, Caroline turut aktif mengendalikan kelas anyaman dan melatih lebih 100 pelajar di Miri serta 26 pelajar di Kuching.
Menurut Caroline, usaha menarik minat generasi muda amat penting bagi memastikan seni anyaman tempatan terus berkembang dan tidak hilang ditelan zaman.
“Saya mahu beg ros dikenali di peringkat antarabangsa serta membawa nama Sarawak ke persada dunia.
“Itulah misi saya sejak mula menghasilkan beg ini dan saya berharap akan ada generasi yang meneruskannya pada masa akan datang,” katanya.



