Belajar bahasa isyarat dalam talian semasa PKP

KUALA LUMPUR:  Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan rakyat Malaysia untuk kekal di rumah bagi mengekang penularan COVID-19, dan setelah lebih sebulan tempoh PKP berlalu pastinya sesetengah individu mula ketandusan idea untuk mengisi masa lapang mereka.

Mungkin tidak terlintas dalam pemikiran ramai yang masa terluang itu boleh digunakan untuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang ditawarkan secara percuma dalam talian.

Bagi memudahkan masyarakat Malaysia untuk berkomunikasi serta menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, seorang sukarelawan menawarkan pembelajaran bahasa isyarat itu menerusi program Sign On.

Pengasas Sign On Mohd Armi Rusli, 37, berkata sepanjang tempoh PKP ini beliau menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube bagi mendekati masyarakat normal yang berminat untuk mempelajari asas BIM dengan lebih baik.

Menerusi platform itu Mohd Armi dan beberapa sukarelawan lain akan memuat naik video yang menjelaskan panduan asas BIM termasuk mengenal abjad dalam bahasa isyarat yang boleh dipraktikkan bersama ahli keluarga di rumah.

“Sebenarnya sebelum PKP kami menawarkan kelas percuma kepada individu dan kumpulan yang diadakan sebulan sekali kerana saya memahami kebanyakan orang normal sukar mendapat peluang mempelajari BIM kerana kelas seperti itu terhad kepada golongan OKU.

Namun dalam tempoh PKP kami terpaksa tangguh dahulu kelas itu sebaliknya mengeluarkan video pendek BIM menerusi media sosial bagi memastikan masyarakat mempraktikkan ilmu BIM di rumah,” katanya kepada Bernama.

Terbaharu Mohd Armi telah memuat naik video bahasa isyarat berkaitan bulan Ramadan yang sedang disambut umat Islam ketika ini, antaranya terjemahan perkataan puasa, berbuka puasa dan sahur.

Lebih menarik, beliau turut memuat naik video terjemahan niat berpuasa dan doa berbuka puasa dalam BIM bagi menggalakkan masyarakat menggunakan bahasa itu.

Bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari BIM, Mohd Armi menggunakan lagu animasi seperti ‘Omar dan Hana’ yang dapat menarik minat anak kecil normal menguasai BIM dengan lebih mudah.

“Saya adakan kelas percuma ini bagi merangsang masyarakat mempelajari BIM dengan cara mudah, sekurang-kurangnya membolehkan kita memasuki dunia komunikasi tanpa suara OKU pendengaran, dan itu sudah memadai daripada tiada asas langsung.

Selain itu langkah ini dapat memastikan saya tidak lupa apa yang dipelajari dahulu apabila menurunkan ilmu kepada orang lain secara percuma,” katanya.

Orang ramai yang ingin menambah ilmu pengetahuan mengenai BIM semasa tempoh PKP ini boleh mengikuti video yang dikeluarkan di Facebook, Instagram dan YouTube #SIGNON: MALAYSIAN SIGN LANGUAGE.  – Bernama