KERIANGAN jelas terpancar di wajah murid-murid, guru dan ibu bapa apabila kawasan Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Senari bertukar wajah menjadi tapak mini karnival sempena penganjuran program Pasar Ria Kids’ Café.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama erat antara Unit Prasekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu berlangsung dengan penuh meriah dan warna-warni, sekali gus mencipta kenangan manis buat seluruh warga sekolah.
Inisiatif ini merupakan satu usaha kreatif dan bermakna dalam mendidik murid-murid prasekolah mengenai dunia keusahawanan sebenar.
Lebih daripada sekadar aktiviti jual beli, Pasar Ria Kids’ Café menjadi platform pembelajaran holistik yang menggabungkan elemen kemahiran hidup, nilai murni, komunikasi dan kolaborasi antara pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Penyelaras Program, Marry Corina Ali, pelaksanaan Pasar Ria Kids’ Café bertujuan menerapkan semangat keusahawanan sejak usia muda “Melalui program ini, murid-murid bukan sahaja diperkenalkan kepada konsep asas jual beli, malah mereka belajar tentang tanggungjawab, amanah, kerjasama dan kreativiti dalam perniagaan.
“Kami mahu mereka memahami bahawa keusahawanan bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi juga cara untuk menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
Tambah beliau, acara yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk kampung dan komuniti setempat.
“Kawasan prasekolah yang biasanya sunyi pada hujung minggu bertukar menjadi meriah dengan suasana ceria dan aktiviti jual beli.
“Sebanyak 10 gerai jualan dibuka dan dikendalikan oleh ibu bapa serta penjaga murid dengan sokongan guru prasekolah.
“Pelbagai barangan dijual termasuk sayur-sayuran segar, makanan ringan, minuman sejuk, kuih-muih tradisional, pakaian, hasil tani tempatan dan kraf tangan buatan tangan,” ujarnya.
Salah satu tarikan utama ialah demonstrasi pembuatan kuih tradisional seperti cakoi dan penyaram yang dikendalikan oleh Marry Corina sendiri.
Demonstrasi tersebut, jelasnya, bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak, malah turut mengimbau nostalgia dalam kalangan pengunjung dewasa.
Bau harum kuih yang baru digoreng memenuhi ruang udara, menambah kemeriahan suasana pagi itu.
Menariknya, segala kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh tabung prasekolah, manakala kutipan sewa gerai disalurkan kepada dana aktiviti murid-murid.
“Pendekatan ini bukan sahaja mendidik kanak-kanak tentang nilai tanggungjawab sosial, tetapi juga mengajar mereka bahawa setiap usaha kecil boleh membawa manfaat besar kepada orang lain.
“Program Pasar Ria Kids’ Café turut menjadi sebahagian daripada penilaian Pertandingan Kids’ Café Peringkat Sarawak apabila SK Kampung Senari berjaya meraih naib johan dengan mengetengahkan tema klasik yang menonjolkan elemen budaya tempatan.
“Kejayaan ini membuktikan kreativiti dan dedikasi guru serta komitmen ibu bapa yang sentiasa menyokong setiap inisiatif sekolah,” ujar beliau lagi.
Pentadbir sekolah dalam kenyataan mereka memaklumkan program sebegini diteruskan sebagai acara tahunan berikutan sambutan positif serta impak besar terhadap pembangunan murid.
“Kami mahu menjadikan Pasar Ria Kids’ Café sebagai tradisi sekolah yang bukan sahaja menceriakan murid-murid, tetapi juga memperkukuh hubungan silaturahim antara sekolah dengan komuniti,” kata Guru Besar SK Kampung Senari, Arifi n Safar.
Lebih daripada sekadar program keusahawanan, Pasar Ria Kids’ Café melambangkan semangat perpaduan dan kebersamaan.
Ia menjadi bukti bahawa pendidikan tidak terhad dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya boleh dihasilkan melalui pengalaman sebenar yang menyeronokkan.
Program ini berjaya menghubungkan warga sekolah dan masyarakat melalui nilai positif seperti tolong-menolong, hormatmenghormati serta semangat kerjasama.
Secara keseluruhan, Pasar Ria Kids’ Café bukan sahaja menghidupkan suasana ceria di SK Kampung Senari, tetapi turut menjadi simbol kejayaan usaha pendidikan holistik yang menekankan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah murid-murid sejak kecil.
Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan dan dicontohi oleh sekolah-sekolah lain dalam usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berjiwa keusahawanan serta mempunyai semangat cintakan komuniti.



