KUCHING: Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini menjadi kayu ukur penting terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak, khususnya dari segi peruntukan, pembangunan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, penilaian terhadap belanjawan itu tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu melihat kesesuaiannya dengan keperluan negeri dan persetujuan yang dicapai.
“Bagi Sarawak, ukuran utama bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia selari dengan semangat MA63, keperluan negeri dan persetujuan yang telah dicapai,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini dengan tema ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’.
Menurutnya, belanjawan itu juga perlu mengambil kira peranan Sarawak dalam ekonomi negara, termasuk sektor tenaga, infrastruktur digital, ekosistem pelaburan dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, perhatian turut terarah kepada peruntukan pembangunan Sarawak selepas Geran Khas Interim dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini, sementara formula jangka panjang pemberian khas tahunan masih dirundingkan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri.
Sekiranya peruntukan yang diumumkan tidak memenuhi jangkaan Sarawak, keadaan itu mungkin meningkatkan tekanan untuk rundingan lanjut berkaitan pelaksanaan MA63, namun perbezaan angka tidak semestinya bermakna kegagalan jika mekanisme pelaksanaan dan komitmen susulan jelas.
Romzi berkata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas perlu kekal sebagai keutamaan kerana kesannya paling langsung dalam merapatkan jurang pembangunan, selain pendidikan dan kesihatan sebagai pelaburan jangka panjang terhadap modal insan serta kesejahteraan rakyat.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk projek infrastruktur lebuh raya bernilai RM48 bilion yang merangkumi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jalan Sarawak-Sabah (SSLR), Lebuhraya Trans Borneo serta kerja menaik taraf jalan di Sibu.



