ARTIKEL

Dr Abdul Hayy Haziq Mohamad

BELANJAWAN Sarawak 2027 mencerminkan komitmen berterusan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kerajaan Sarawak memperkukuh ekonomi negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Pembentangan belanjawan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperlihatkan pendekatan kepimpinan yang progresif, berwawasan dan berpaksikan keperluan rakyat.

Antara perkembangan paling membanggakan ialah unjuran hasil negeri sebanyak RM15.091 bilion, meningkat kira-kira 16 peratus daripada RM13.049 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini mencerminkan kekuatan asas ekonomi Sarawak serta keberkesanan strategi kerajaan dalam memperkukuh sumber pendapatan negeri.

Lebih penting lagi, Belanjawan Sarawak 2027 mengunjurkan lebih belanjaan sebanyak RM246 juta apabila hasil yang dianggarkan melebihi belanjaan mengurus sebanyak RM14.845 bilion.

Kedudukan ini memberikan gambaran positif tentang disiplin fiskal dan keupayaan kerajaan mengurus kewangan negeri secara berhemah.

Dari perspektif ekonomi, kestabilan fiskal merupakan asas penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan.

Keupayaan untuk mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan memperluas pelaburan strategik tanpa membebankan tanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat.

Dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, pendekatan itu memperlihatkan ketamatan pengurusan ekonomi Sarawak serta kesungguhan kerajaan untuk membina daya tahan ekonomi bagi jangka panjang.

Keutamaan terhadap pembangunan jangka panjang turut diterjemahkan melalui peruntukan pembangunan sebanyak RM10.09 bilion, meningkat kira-kira sembilan peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Peruntukan ini berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan infrastruktur, peningkatan produktiviti dan pewujudan peluang pekerjaan.

Berdasarkan konsep kes pengganda ekonomi, pelaburan kerajaan mampu menghasilkan kesan limpahan kepada sektor pembinaan, perkhidmatan, pengangkutan dan perusahaan tempatan.

Pembangunan infrastruktur juga penting bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar, sekali gus memperkukuh keterangkuman pembangunan wilayah dan meningkatkan akses rakyat kepada peluang ekonomi.

Dari aspek kesejahteraan rakyat, Belanjawan Sarawak 2027 memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran peningkatan kos sara hidup. Peruntukan berjumlah RM974.5 juta bagi pelbagai inisiatif bantuan merupakan langkah positif untuk membantu isi rumah mengurus perbelanjaan harian.

Peruntukan tersebut merangkumi RM650 juta bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), RM281 juta bagi diskaun bil elektrik, RM35 juta bagi subsidi bil air dan RM8.5 juta bagi subsidi tambang bas.

Bantuan tersebut bukan sahaja berpotensi mengurangkan tekanan kewangan rakyat, malah dapat menyokong kuasa beli serta merangsang aktiviti ekonomi domestik. Pendekatan ini memperlihatkan kepentingan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan dalam bentuk manfaat langsung yang dapat dirasai oleh masyarakat.

Pendidikan dan pembangunan modal insan turut diberikan keutamaan dalam belanjawan ini.

Peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Skim Pendidikan Tinggi Percuma, RM50 juta bagi bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan RM25 juta bagi program sokongan tusiyen menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memperluas akses pendidikan.

Berdasarkan teori modal insan, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan produktiviti, menggalakkan inovasi dan memperkukuh daya saing ekonomi.

Inisiatif ini amat penting dalam mempersiapkan generasi muda Sarawak untuk memenuhi keperluan industri pada masa hadapan, khususnya dalam bidang teknologi, ekonomi digital dan sektor yang memerlukan kemahiran tinggi.

Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne Cawangan Sarawak, Universiti Curtin Malaysia dan Kolej Universiti i-CATS memainkan peranan strategik merealisasikan aspirasi pembangunan modal insan negeri.

Pelaburan dalam pendidikan juga membolehkan lebih ramai anak tempatan menimba ilmu, meningkatkan kemahiran profesional dan membina keupayaan intelektual tanpa dibebani tekanan kewangan yang berlebihan.

Pelaburan ini bukan sekadar menyediakan akses kepada pendidikan, malah turut membentuk generasi pelapis yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan.

Dalam jangka panjang, kejayaan melahirkan lepasan berkualiti akan memperkukuh produktiviti, menggalakkan inovasi serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan luar.

Justeru, perbelanjaan pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan ekonomi strategik yang memberikan pulangan jangka panjang kepada pembangunan Sarawak.

Selain pendidikan, Kerajaan Sarawak turut memberikan perhatian kepada keperluan asas masyarakat menerusi peruntukan berjumlah RM384.35 juta untuk pelbagai inisiatif pemulihan rakyat.

Program pembinaan rumah mampu milik, bantuan deposit pembelian rumah pertama dan subsidi sewa rumah berpotensi membantu lebih ramai rakyat memiliki atau mendapat kediaman yang selesa.

Dalam masa yang sama, bantuan dalam bidang kesihatan dan kebajikan, termasuk sokongan kepada warga emas serta golongan rentan, mencerminkan pendekatan pembangunan yang mengutamakan kesejahteraan sosial.

Langkah ini penting bagi memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa meninggirkan mana-mana lapisan masyarakat.

Sektor pengangkutan dan keusahawanan turut diberikan perhatian dalam Belanjawan Sarawak 2027.

Peruntukan sebanyak RM988 juta bagi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan RM124 juta bagi menyokong operasi Sarawak Metro berpotensi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan pergerakan penduduk, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi bandar.

Sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pula penting bagi memperkukuh ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti perniagaan.

Usaha ini berpotensi membentuk ekosistem ekonomi yang lebih dinamik, produktif dan berdaya saing.

Kesimpulannya, Belanjawan Sarawak 2027 bukan sahaja memperlihatkan kekuatan kewangan negeri, malah mencerminkan iltizam kepimpinan untuk membentuk masa depan Sarawak yang lebih makmur, progresif dan inklusif.

Sesungguhnya, kejayaan pembangunan bukan sahaja dilukur berdasarkan peningkatan hasil negeri, malah turut dinilai melalui sejauh mana kemajuan ekonomi mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dengan perancangan tersusun, pengurusan kewangan yang berhemah serta pelaksanaan dasar yang berkesan, Sarawak berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan aspirasinya menjelang 2030.

Sarawak bukan sekadar membina kemajuan untuk hari ini, malah sedang membentuk kemakmuran yang berkelakaran berteraskan ilmu, pendidikan dan keupayaan generasi akan datang.

* Penulis ialah Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Sarawak.

BERITA LAIN

Bawa mesej pemuliharaan laut melalui nyanyian

PERTANDINGAN nyanyian The Last Dive – Takdir Terakhir bukan sekadar membuka peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keupayaan

Muay Thai Sarawak buru bakat baharu

PENGANJURAN Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10, 2026 bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk membuktikan keupayaan masing-masing. Kejohanan ikonik Persatuan Muaythai Negeri

BERITA TERBARU

1.16 tan ketamin dirampas

MEDAN: Pihak berkuasa Indonesia merampas dadah jenis ketamin bernilai kira-kira AS$192 juta dari sebuah kapal tangki yang dipintas di luar perairan Wilayah Sumatera Utara, kata

4.63 juta rakyat M’sia terima manfaat

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 4.63 juta rakyat mendapat manfaat daripada 3,344 siri Jualan Agro MADANI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diadakan di seluruh negara bermula