DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus mempergiatkan usaha membendung penularan wabak rabies melalui pelaksanaan Program Vaksinasi Antirabies, Pelesenan dan Pemasangan Mikrocip di Pasar Sungai Maong, baru-baru ini.
Program bersepadu itu merupakan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) bagi mencegah jangkitan dalam kalangan haiwan peliharaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sebagai pemilik anjing.
Inisiatif tersebut berteraskan pendekatan One Health yang menggabungkan aspek kesihatan haiwan dan manusia, sekali gus memperkukuh keselamatan komuniti secara menyeluruh.
Menurut DBKU, program itu menyasarkan 100 anjing untuk menerima suntikan vaksin antirabies, pendaftaran lesen pemilikan serta pemasangan mikrocip secara percuma.
Langkah tersebut bertujuan memudahkan pematuhan terhadap peraturan sedia ada selain mengurangkan risiko jangkitan penyakit zoonotik kepada manusia.
Vaksinasi antirabies wajib di bawah Perintah Kawalan Penyakit (Rabies) selaras dengan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan perlu dilaksanakan setiap tahun bagi mewujudkan imuniti kelompok.
Seiring dengan perkembangan semasa, Sarawak turut melaksanakan program rintis Oral Rabies Vaccination (ORV) bermula April lalu yang menyasarkan anjing liar atau yang sukar ditangkap, di samping meneruskan vaksinasi konvensional melalui klinik veterinar serta program komuniti.
Sementara itu, di bawah Local Authorities (Dog Licensing and Control) ByLaws 2018, pemilikan anjing wajib dilesenkan dengan had maksimum tiga ekor bagi setiap kediaman. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 selain tindakan penguatkuasaan oleh PBT.
Pemasangan mikrocip sebagai pengenalan kekal haiwan peliharaan turut dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan pemilik dilakukan dengan lebih pantas, sekali gus memperkukuh kebertanggungjawaban pemilik.
Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan DBKU, Sih Hua Tong dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek serta Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr. Ainul Riza Abu Seman.



