BAGI rakyat di Asia Tenggara, terutama Malaysia, Indonesia dan Thailand, sukar untuk menolak nasi, sekurang-kurangnya sekali sehari, namun ramai yang makan nasi dua kali sehari, yakni tengah hari dan malam.
Malah ada yang menikmatinya pada sebelah pagi. Sebagai makanan ruji, ia mesti ada di atas meja, sebagai sumber tenaga utama dalam menjalani kehidupan harian.
Bagi memenuhi keperluan rakyat, Malaysia mengimport beras dari lima negara, Vietnam, Pakistan, India, Thailand dan Kemboja. Ia kerana beras tempatan di negara ini hanya mampu menampung 50 peratus keperluan domestik.
Menjelang 2027, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan kebergantungan kepada import beras, melalui peningkatan produktiviti hasil padi tempatan, sebanyak tiga peratus setahun.
Namun makan nasi dengan kuantiti berlebihan secara konsisten, antara faktor utama menyebabkan kegemukan.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendedahkan 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Ia menyebabkannya negara menanggung perbelanjaan sebanyak RM64.2 bilion bagi kos rawatan dan pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
Kehilangan produktiviti negara akibat NCD, iaitu penyakit kronik, berlaku dalam beberapa bentuk. Pertama, ketidakhadiran ke tempat kerja kerana mengambil cuti sakit (MC) daripada doktor.
Kedua, hadir ke tempat kerja tetapi gagal memberikan prestasi terbaik. Perkara ini dikenali sebagai ‘presenteeism’, iaitu hadir, tetapi tidak dapat bekerja dengan sebaiknya.
Manakala laporan World Obesity Federation menerusi World Obesity Atlas 2026, menunjukkan lebih 2.85 juta individu berusia lima hingga 19 tahun di Malaysia mengalami obesiti.
Ia agak menakutkan kerana inilah generasi pewaris masa depan negara.
Menyedari nasi antara punca obesiti, Sarawak bakal melangkah selangkah lagi dalam bidang pertanian apabila Kerajaan Negeri meminta penyelidik dan saintis meneroka varieti padi baharu yang menghasilkan beras lebih sihat, termasuk kandungan gula atau karbohidrat lebih rendah.
Pada Majlis Persidangan Padi Sarawak Kedua 2026 di Kuching Selasa lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjejaskan bahawa penyelidikan perlu bergerak serentak dalam aspek benih, teknologi, pengurusan dan pemakanan supaya pembangunan industri padi tidak hanya fokus kepada jumlah pengeluaran, tetapi turut menghasilkan makanan yang lebih berkualiti.
“Kalau kita boleh menghasilkan beras seperti basmati atau beras dengan kandungan karbohidrat lebih rendah, saya fikir rakyat Malaysia boleh mendapat pilihan makanan yang lebih sihat,” ujar Abang Johari.
Sarawak bukan sekadar bakal menjadi jelapang padi negara, tetapi turut memastikan beras yang dihasilkan berkualiti tinggi, demi kesihatan penduduk.
Pada masa yang sama Malaysia turut mempunyai jenama padi sendiri dari Sarawak, yang menepati cita rasa masyarakat yang mementingkan kesihatan.
Realitinya beras biasa mengandungi kandungan gula yang tinggi menyebabkan kegemukan, sekali gus mendorong masalah diabetes.
Antara beras yang mempunyai Indeks Glisemik (GI) rendah dan tinggi kandungan serat ialah beras basmati, beras perang, beras merah dan beras parboiled.
Sarawak pula mempunyai sekitar 11 jenis beras. Beras Bario atau Padi Adan yang cukup popular.
Beras dari Tanah Tinggi Kelabit, Bario, beras ini mempunyai aroma wangi, tekstur lembut dan butiran lebih pendek.
Ia terbahagi kepada empat kategori, iaitu Puth Bario, Merah Bario, Hitam/Celum Bario dan Perang Bario.
Jenis lain pula ialah Biris, Bacun, Mamut, Wang Simunjan dan varieti tempatan, seperti Selasih, Katek Merah, Lemak, Kanowit, Kurau dan Wai. Yang pasti, Beras Perang Bario dan Merah Bario antara beras yang mempunyai khasiat tersendiri.
Rakan saya yang menghidap kencing manis yang agak kronik sejak usia awal 30-an mengamalkan pemakanan beras perang/merah selama lebih 20 tahun, membolehkan tahap kesihatannya pulih.
Sejak doktor menasihatkannya agar mengurangkan pengambilan nasi putih, beliau terus mengambil beras merah/perang sebagai ganti. Beliau mencampur sedikit dengan beras putih, bagi menjimatkan penggunaan, maklumlah harga beras merah/ perang agak mahal.
Sejak itu kesihatannya semakin baik, ditambah pula dengan penjagaan pemakanan.
Mereka sekeluarga menikmati nasi merah/ perang. Katanya, mula-mula agak janggal apabila pinggan kelihatan berwarna perang.
Hingga kini beliau masih mengambil nasi perang, dengan kuantiti sederhana.
Beliau mengakui pengambilan nasi putih biasa menyebabkan berat badan mudah naik.
“Pernah suatu ketika saya cuba makan nasi putih, namun keadaan kesihatan kurang memuaskan menyebabkan saya kembali kepada nasi perang,” katanya.
“Banyak khasiat beras perang.
Ibu dan ayah saya yang berusia penghujung 70-an hingga kini makan nasi perang dan mereka masih cergas pada usia senja,” katanya lagi.
Beliau turut melakukan senaman secara konsisten, dan sentiasa menjaga pemakanan.
“Kita memang tidak dapat lari daripada makan nasi setiap hari… cuma kita perlu berhati-hati, jangan ambil terlalu banyak.
Makan sekali sehari memadai… kalau makan juga pada waktu malam, kurangnya kuantitinya, makan sikit sahaja,” ujarnya.
Beliau menyambut baik hasrat Kerajaan Sarawak untuk menghasilkan varieti padi berkualiti, demi kesihatan rakyat untuk jangka panjang. Katanya, dengan adanya varieti lokal berkualiti, maka harganya lebih murah, daripada beras import, terutama yang diimport dari India.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan sistem saliran dan pengairan di kawasan penanaman padi yang dikenal pasti, sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat transformasi sektor itu melalui teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan ladang moden.
Kerjasama dengan sektor swasta turut dijalinkan bagi memperkasa pengeluaran padi berskala besar, dengan pelabur berperanan menyediakan modal, infrastruktur dan teknologi, manakala pekebun kecil dihubungkan terus dalam rantaian pengeluaran.
Pendekatan berkenaan penting bagi meningkatkan jumlah pengeluaran beras negeri dengan mengambil kira kos pembangunan infrastruktur pertanian dan penggunaan teknologi yang memerlukan pelaburan tinggi.
Model kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan pekebun kecil itu merupakan antara pendekatan yang diberi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan.
Pada masa yang sama kita juga bakal mengeluarkan varieti padi berkualiti, demi kesihatan rakyat.



