ARTIKEL

Bersangka baik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM kehidupan seharian, kita sentiasa dikelilingi manusia yang lebih tua dan lebih muda daripada kita. Ada yang sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, dan ada pula yang baru memulakan langkah mencari arah dan pengalaman. 

Namun, ketika menilai orang lain, kita sering terperangkap dalam sikap membandingkan diri sehingga terlupa satu perkara penting, iaitu adab bersangka baik terhadap sesama manusia.

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menjaga hati daripada perasaan sombong dan merasakan diri lebih baik daripada orang lain. Antara cara mendidik hati ialah dengan melihat setiap orang melalui sudut pandang lebih positif dan penuh rendah diri.

Apabila kita melihat orang yang lebih tua, jangan sekadar melihat kedut di wajahnya, langkah yang semakin perlahan atau kemampuan fizikalnya yang semakin berkurangan. 

Sebaliknya, fikirkan bahawa mungkin dia telah menghabiskan lebih banyak masa dalam hidupnya untuk beribadah kepada Allah berbanding kita. Mungkin dia telah menunaikan ribuan solat yang belum sempat kita tunaikan. Dan, mungkin dia telah melalui pelbagai ujian kehidupan yang mengajarnya tentang erti sabar, reda dan syukur.

Orang yang lebih tua juga menyimpan khazanah pengalaman yang tidak terdapat dalam buku atau media sosial. Mereka pernah merasai susah dan senang, jatuh dan bangun, gagal dan berjaya. Pengalaman itu membentuk kebijaksanaan yang tidak dapat diperoleh dalam masa singkat. Sebab itu, menghormati orang tua bukan sekadar tuntutan adab, budaya, tetapi juga tuntutan agama.

Kadangkala kita terlalu cepat menganggap pandangan generasi lama sudah tidak relevan dengan zaman moden, sedangkan banyak nilai yang mereka pegang masih kekal penting hingga hari ini.

Misalnya disiplin, amanah, kesederhanaan dan penghormatan terhadap masa. Kita mungkin mempunyai teknologi yang lebih canggih, tetapi tidak semestinya memiliki kebijaksanaan yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, apabila melihat orang yang lebih muda, jangan pula kita mudah memandang rendah mereka. Jangan merasakan bahawa usia lebih tua menjadikan kita secara automatik lebih mulia atau lebih baik. Hakikatnya, umur yang panjang tidak semestinya menjamin kemuliaan di sisi Allah.

Ustaz jemputan ceramah sempena sambutan Maal Hijrah di kampung saya pada Selasa lepas mengingatkan: apabila melihat orang yang lebih muda, hendaklah kita berkata di dalam hati, “Dia lebih muda daripada aku, maka sudah tentu dosanya lebih sedikit daripada dosaku.” 

Renungan seperti ini sangat mendidik jiwa kerana ia dapat menghalang kita daripada bersikap angkuh. Dalam masa yang sama mengingatkan bahawa kita juga mempunyai kelemahan serta kekurangan.

Kita tidak mengetahui keadaan hati seseorang dan sejauh mana keikhlasan amalnya. Mungkin seorang anak muda yang kelihatan biasa pada pandangan manusia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Allah. Mungkin doanya lebih mustajab dan amalnya lebih diterima. Bahkan, mungkin juga masa depannya lebih baik daripada penghujung kehidupan kita.

Begitulah sifat seseorang yang sentiasa berhati-hati dalam menilai manusia. Dia lebih sibuk memperbaiki dirinya daripada mencari kekurangan orang lain.

Hakikatnya, umur ialah nikmat yang sangat besar. Namun, nikmat ini sering dilupakan kerana ia tidak dapat dilihat seperti harta atau pangkat. Setiap kali usia bertambah setahun, ramai yang meraikannya dengan penuh kegembiraan.

Tetapi tidak ramai yang merenung bahawa setiap pertambahan umur sebenarnya membawa kita semakin hampir kepada penghujung kehidupan.

Seseorang yang berusia 60 tahun tidak lagi mempunyai masa yang sama seperti ketika berusia 20 tahun. Begitu juga seseorang yang berusia 40 tahun tidak boleh menangguhkan segala perkara baik seolah-olah dia masih mempunyai masa yang tidak terbatas. 

Masa yang telah berlalu tidak akan kembali, manakala masa yang akan datang belum tentu menjadi milik kita. Oleh sebab itu, umur perlu diurus dengan bijaksana. 

Dalam masa yang sama, umur yang panjang seharusnya dimanfaatkan untuk menambah amal kebajikan. Membantu orang lain, menyumbang kepada masyarakat, menyebarkan ilmu dan melakukan kebaikan walaupun kecil merupakan pelaburan yang akan terus memberi manfaat selepas seseorang meninggal dunia.

Akhirnya, perkara yang paling penting bukan tentang berapa lama kita hidup, tetapi bagaimana kita mengakhiri kehidupan kita. Ramai orang diberikan umur yang panjang, tetapi tidak semua mengakhiri hidup dengan husnul khatimah. Sebaliknya, ada yang meninggal dunia pada usia muda, namun meninggalkan amal dan kenangan yang baik sehingga terus disebut-sebut oleh manusia.

Kita tidak mengetahui bagaimana penghujung hidup kita. Sebab itu, tidak wajar untuk merasa diri lebih baik daripada orang lain. Orang yang lebih tua mungkin memiliki timbangan amal yang jauh lebih berat daripada kita. Orang yang lebih muda pula mungkin mempunyai masa depan yang lebih baik dan lebih diredai Allah.

Maka, apabila melihat orang yang lebih tua, hormatilah mereka dan ambillah pengajaran daripada pengalaman hidup mereka. Apabila melihat orang yang lebih muda pula, sayangilah mereka serta doakan kebaikan buat mereka. 

Dengan bersangka baik kepada semua orang, hati akan menjadi lebih tenang, hubungan sesama manusia akan menjadi lebih harmoni dan kita akan sentiasa sedar bahawa setiap manusia sedang berjalan menuju destinasi yang sama.

Akhirnya, yang membezakan manusia bukan usia, pangkat atau kedudukan, tetapi bagaimana mereka menggunakan umur yang dipinjamkan Allah dan bagaimana mereka menamatkan perjalanan hidup di dunia ini.

Ingatlah, yang tua dihormati, yang muda disayangi.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU