TIGA hari yang lalu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengumumkan kesediaannya untuk mengundur diri sekiranya tidak lagi dicalonkan oleh partinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Katanya, selepas lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, setiap wakil rakyat perlu bersedia untuk berundur apabila tiba masanya untuk memberi laluan kepada pemimpin baharu.
Soal sama ada terus dicalonkan atau tidak katanya, bukan lagi menjadi keutamaan.
Sebaliknya kepentingan parti dan rakyat perlu didahulukan.
“Sesiapa yang menjadi wakil rakyat di Sarawak, sama ada penggal pertama atau penggal keenam, mesti bersedia apabila keadaan memerlukan kita berhenti, kita berhenti!
Tidak seharusnya ada perasaan tidak mahu melepaskan jawatan atau jika tidak dicalonkan, mahu bertanding menentang parti,” katanya dengan tegas.
Ini bukan kali pertama Abdul Karim berterus terang dengan prinsipnya.
Ketika kalah dalam pemilihan sebagai Naib Presiden parti tahun lalu, beliau yang memegang portfolio Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pernah mengungkapkan kesediaannya untuk melepaskan jawatan, sekiranya kepimpinan parti dan kerajaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Kenyataan Abdul Karim ini bukan bermaksud beliau tidak sayangkan parti, sebaliknya beliau mendahulukan parti dalam semua perkara.
Beliau pernah mengungkapkan perkara yang sama sebelum ini, kerana tidak mahu dilihat sebagai beban, jika parti perlu memilih individu lain, yang lebih sesuai mengikut tuntutan semasa.
Abdul Karim ketika ini berusia 66 tahun dan telah menjadi ADUN di kawasan Asajaya sejak 2001.
Beliau ketika itu menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang membuat keputusan untuk berhijrah ke DUN Balingian.
Membaca di sebalik pengumuman Abdul Karim ini, setiap pemimpin parti, terutamanya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu membuat keputusan terbaik dan mendahulukan parti jika berasa tidak lagi mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik, dan mengikut trend.
Usia yang semakin meningkat merupakan salah satu daripada kewajarannya.
Justeru apabila sudah tiba masanya untuk berundur, serah dan percayalah kepada kebijaksanaan pimpinan atasan – dalam konteks ini Presiden PBB dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukan pilihan. Jika dicadangkan untuk berundur, usah dirayu atau memberi pelbagai alasan.
Akur kerana individu seperti Abang Johari tidak membuat ukuran pemilihan sesuka hati. Justeru usah menyukarkan keputusan yang dibuat.
Bagi mereka yang telah menghampiri dan menjangkau tujuh dekad, mereka perlu bersedia untuk melepaskan kedudukan jika itu pilihan parti.
Hakikatnya, waktu ini, adalah waktu terbaik untuk parti ini melakukan rejunevasi dan transisi kepimpinan kepada yang lebih muda dan bertenaga – kerana ia berada dalam kedudukan yang kuat.
Hal ini malah telah diumumkan oleh Abang Johari (yang genap usia 76 tahun semalam) dalam konvensyen PBB sebelum ini, sambil mengatakan beliau dan beberapa pemimpin kanan parti itu juga telah menghampiri usia maghrib.
Dan, mereka juga telah bersedia untuk menyerahkan kuasa.
Setiap pilihan raya bermakna akan ada muka baharu dimasukkan.
Dan, akan ada mereka yang telah sampai waktunya, diundurkan daripada politik perdana kerana keperluan. Ini untuk memastikan parti dan kerajaan kekal relevan, dipercayai dan dihormati.
Jika tidak, apa bezanya kerajaan hari ini yang ditadbir oleh GPS dengan partiparti pembangkang — yang tampil dengan begitu ramai pesara, mereka yang lanjut usia dan calon kitar semula.
Untuk rekod, analisis semasa menunjukkan 24 peratus daripada 81 ADUN Sarawak ketika ini berusia lebih 70 tahun.
Manakala 20 peratus lagi berusia 65 tahun dan ke atas.
Malah ada seorang daripadanya yang berusia lebih 80 tahun.
Dan, kesemuanya daripada GPS. Realitinya, ketika ini, pilihan raya semakin hampir.
Seluruh rakyat Sarawak terutamanya pembangkang, pemerhati dan penganlisis politik sedang memberi sepenuh tumpuan kepada perkara ini.
Mereka menunggu move daripada GPS sebelum membuat sebarang gerakan.
Kerana itu ada parti yang masih senyap, dan yang lain sedang membakar api kecil, untuk membuktikan mereka hadir dan wujud dalam sistem demokrasi di Sarawak.
Hakikatnya, isu-isu yang dibangkitkan kini pun tidak setara dengan rekod pencapaian yang bakal dipamer GPS menerusi manifestonya. Dan, bagi Abang Johari, beliau tidak pula terburu-buru membuat pengumuman dan keputusan.
Sarawak masih memiliki sehingga Februari depan untuk tempoh “matang”, justeru enam bulan bersisa ini seharusnya digunakan untuk melengkapkan laporan dan mencari potensi calon, yang bukan lagi untuk menang, tetapi menjadi pemimpin yang bakal mewarisi Sarawak pada masa depan.
Justeru mereka yang dipilih kelak perlulah kalangan mereka yang boleh memimpin dengan baik untuk tempoh tiga ke empat penggal, sekurangkurangnya.
Kejayaan Abang Johari menakhodai Sarawak ketika ini adalah kerana beliau “dipercayai rakyat”.
Beliau telah menepati segala janji yang sebelum ini dianggap “angan-angan” oleh beberapa pihak yang lain.
Apabila angan-angan beliau itu menjadi realiti seperti hari ini, rakyat telah memberikan seluruh sokongan dan kepercayaan kepada beliau.
Menyedari kepercayaan inilah, beliau perlu memilih berhatihati bakat baharu dalam politik ini, agar dapat meneruskan kesinambungan kejayaan yang diperoleh Sarawak hari ini.
Malah lebih jauh lagi.
Tidak mudah, tetapi beliau perlu mencari ramai lagi “Abang Johari” yang bukan sahaja mahir politik, malah kaya dan faham ilmu, rajin membaca, rajin menelaah dan cepat belajar tentang keperluan masa depan.
Itulah resipi yang menjadi kejayaan beliau nakhoda yang berjaya hari ini.
Dan, ia perlu dimulakan dengan menukar mereka yang telah “matang” dan “tamat tempoh” dan menggantikannya dengan “tenaga baharu” yang memiliki ciri-ciri di atas.
Namun ia akan menjadi jalan sukar jika ada yang memilih untuk terus mengekalkan posisi sedia ada kerana berasakan masih mampu berkhidmat, belum cukup serta takut akan hilang segalagalanya.
Percayalah, memahami cara Abang Johari bekerja dan berfikir, beliau tidak akan meninggalkan “otak terbaik” dan “berpengalaman” begitu sahaja.
Pada penggal lalu, ada seorang pemimpin muda di membuat pengumuman terbuka seperti Abdul Karim, sedia digugur dan tidak dicalonkan jika dirasakan tidak lagi relevan.
Justeru ia seharusnya menjadi inspirasi kepada mereka yang cukup masa, untuk memberikan ruang kepada pengganti yang lebih baik, demi masa depan parti, negeri dan negara.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.






