ARTIKEL

Bersyukur ada kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BERSYUKURLAH kita masih mempunyai pekerjaan.

Untungnya juga kita masih ada wang gaji setiap hujung bulan.

“Untunglah engkau, cucuk mesin ATM, ada gaji tiap-tiap bulan.

Aku ni sampai sekarang masih cari kerja.”

Antara dialog yang saya pernah dengar dalam perbualan dua rakan ketika menunggu giliran bermain sepak takraw.

“Bang… ada kerja kosong di tempat abang kerja?

Apa-apa kerja pun boleh.

Saya tak memilih.” Satu soalan yang amat sukar untuk dijawab ditanya rakan tentang kerja.

Kasihan memang kasihan, tetapi tiada ada apa-apa yang boleh kita buat.

Sebab kita bukan pemberi atau pencipta pekerjaan.

Belum lagi mendengar cerita seseorang yang terpaksa mencari kerja pada 1 Syawal.

Ketika orang lain bergembira berhari raya bersama-sama keluarga, dia pula sudah keluar rumah untuk mencari pekerjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup di ibu negara. Ini menjelaskan betapa orang sangat memerlukan pekerjaan.

Bukan sahaja bagi yang sudah bekeluarga, tetapi juga individu bujang.

Tanpa bekerja, tiada duit untuk membeli makanan.

Lebih-lebih lagi sekarang segala-galanya memerlukan duit.

Waima untuk membuang air kecil sekalipun kita tetap memerlukan duit walaupun hanya 20 sen.

Sebab itu, dapat dilihat tekanan dihadapi oleh si pencari kerja.

Ada yang bersungguh-sungguh mencari kerja, tetapi belum ada rezeki mendapat kerja.

Ada yang enggan bekerja. Ada pula yang kurang bersungguh-sungguh bekerja walaupun sudah mempunyai pekerjaan.

Semacam terlalu selesa dengan kerja yang ada.

Akhirnya diberhentikan.

Kemudian salahkan majikan.

Saya teringat dengan seorang pemuda usia 30-an yang datang ke rumah memandu lori sewa.

Dia seorang diri.

Tiada teman.

Sehari sebelum itu, saya hubunginya melalui Facebook untuk menyewa lori bagi membawa barang-barang berat dan besar ke rumah ibu.

Berbual-bual sambil mengangkat barang ke dalam lori, saya tanya dengannya: “Lori sendiri ka?” “Ya bang,” jawabnya.

Saya tanya lagi: “Berapa harga beli?

Berapa bayaran bulanan?” Jawabnya: “Saya beli tunai bang.

Selepas berhenti kerja offshore, saya terus beli lori ini guna duit simpanan,” jelasnya.

Dia terpaksa beli secara tunai lori terpakai itu daripada seorang Cina kerana dia tidak akan dapat membuat pinjaman bank.

Sebab tiada kerja, bermakna tiada jaminan untuk bank memberikan pinjaman pembelian kenderaan.

“Saya beli lori ni sebab nak terus ada kerja bang.

Tak sanggup saya tiada kerja lepas berhenti kerja offshore. Saya ada anak bini yang tunggu duit bulan-bulan. Jadi saya buat kerja sendiri. Saya tauke, saya juga kuli,” terangnya.

Setakat awal Januari lalu, saya ikuti Facebook pemuda ini. Rezeki dia, semakin banyak yang menggunakan khidmat lorinya untuk mengangkut barang.

Nampak seperti tidak kering peluh dia menerima permintaan pelanggan.

Mungkin kerana dia cepat menjawab panggilan telefon pelanggan, lagi pun dia tidak keberatan untuk menurunkan sedikit harga sewaan lori.

Bekojo lah kito sekueknyo Beusoho lah kito sekueknyo Bekojo bekojo poie pagi balik sonjo Bekojo lah kito sekueknyo Beusoho lah kito sekueknyo Kuek bekojo banyak duit tambah kayo Rangkap pertama lagu berjudul Bekojo nyanyian ResQ ini bermaksud “Bekerjalah kita sekuatnya, berusahalah kita sekuatnya, bekerja-bekerja pergi pagi balik senja.”

Rangkap kedua pula bermaksud “Bekerjalah kita sekuatnya, berusahalah kita sekuatnya, kuat bekerja banyak duit tambah kaya”.

Lagu ini sering dipasang di corong-corong radio sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun.

Menggambarkan betapa kuatnya usaha seseorang yang bergelar pekerja.

Tahun ini, Hari Pekerja disambut esok (Rabu).

Lagu ini membawa maksud, kita harus bekerja kuat dan tingkatkan usaha jika mahu berjaya.

Kaya dalam lirik lagu ini bermaksud berjaya.

Jadi untuk berjaya sebagai pekerja, kita perlu berusaha sebaik mungkin.

Jika usaha kita disertakan keikhlasan, pasti akan mendapat imbalan yang sepatutnya.

Saya dan mungkin anda juga mungkin pernah mendengar kata-kata ataupun nasihat ini: “Dalam bekerja kita mesti ikhlas.

Turun dari rumah niat bekerja kerana Allah SWT dan mencari rezeki untuk keluarga.

Dan jangan terlalu berkira sangat dalam bekerja”.

Seorang rakan sering mengulang-ulang nasihat ini.

Katanya: “Kadang-kadang kita terlalu berkira-kira dalam bekerja.

Tambah sedikit kerja, mula rasa tidak puas hati. Kadang-kadang kita terlupa adakah kita benar-benar memenuhi kerja kita?

Adakah kita sudah memastikan kita benar-benar menyempurnakan kerja kita?”

Tambahnya lagi: “Ada ketika jangan terlalu berkira.

Mana tahu ia dapat menggantikan kekurangan kerja kita terdahulu. Sebab semuanya dilihat dan dinilai oleh Allah SWT”.

Jadi, sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, mari kita bulatkan tekad untuk bekerja lebih bersungguh-sungguh lagi.

Biar kita sendiri membuat penilaian tentang kerja kita, sebab hanya kita sendiri tahu bagaimana cara kita bekerja — memadai atau tidak untuk sehari itu. Apa-apa pun, sayangi kerja kita.

Kita bertuah masih mempunyai kerja. Orang lain berlumbalumba nak dapatkan pekerjaan.

Bayangkan berapa ramai lulusan universiti kini masih lagi mencari pekerjaan, hinggakan mereka sanggup melakukan apa-apa kerja hanya untuk memastikan ada kerja dan gaji.

Kalau kita berhenti kerja secara sukarela atau diberhentikan kerja atas pelbagai sebab, akan ada banyak lagi calon yang boleh mengisi kekosongan kita.

Bila-bila masa mereka boleh menggantikan kita. Malah majikan juga mempunyai senarai panjang pencari kerja yang sesuai untuk diambil bekerja. Jadi, kita harus jaga pekerjaan kita.

Jangan sia-siakan apa-apa yang kita ada sekarang. Selamat Hari Pekerja.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

378 permohonan ALAF di Tellian belum dilaksanakan

KUCHING: Sebanyak 378 permohonan di bawah Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) di Tellian belum dilaksanakan setakat ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston