SIBURAN: Betong FA masih mampu memberikan tentangan sengit dalan saingan Piala Premier Sarawak 2025 walaupun menurunkan pemain-pemain yang bukan pilihan kesebelasan utama.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini menegaskan, kekangan masa serta jarak penempatan jauh dari pusat latihan adalah punca utama pemain-pemain berpotensi tidak dapat memberi komitmen untuk turun bersama menjalani latihan yang diadakan setiap minggu.
“Walaupun kita menerima kekalahan keempat dalam perlawanan Liga Premier, saya tidak menyalahkan pemain.
“Berdasarkan persediaan Betong FA, pengurusan sukar untuk mengumpul pemain-pemain berpotensi. Mereka (pemain) ada yang duduk di Sesang, Ulu Krian, Saratok, Beladin, Debak dan Saratok.
“Untuk mengumpul pemain adalah sukar walaupun pada hujung minggu. Ada yang turun namun setakat tujuh atau lapan pemain, sehingga kini tidak pernah sekali pun pasukan berlatih secara keseluruhan,”ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau bercadang untuk mengatasi masalah tersebut dengan mencari jalan penyelesaian sesuai, memastikan pasukan dapat berlatih secara keseluruhan dengan mengambil kira tempoh seminggu sebelum menjelang perlawanan keenam.
“Jadi kita cuba kumpulkan pemain, saya akan berbincang dengan pemain. Kalau boleh, kita berkumpul sekali sebelum perlawanan terakhir pusingan pertama apabila kita menentang Sarikei.
“Saya akan cuba untuk bawa pemain dalam pasukan untuk berlatih bersama-sama, sekurang-kurangnya ada persefahaman selepas ini, saya akan cuba usahakan,”katanya.
Beliau pada masa sama mengakui teruja, anak buahnya mampu memberikan saingat sengit ketika berhadapan dengan pasukan-pasukan pilihan seperti Kuching FA dan Serian FA.
“Pemain-pemain yang diturunkan dapat memberikan tentangan sengit dengan pasukan pilihan seperti Kuching FA dan Serian FA.
“Seperti mana yang kita tahu, kedua-dua pasukan ini rata-rata dibarisi pemain yang berpengalaman, jadi ini mengejutkan saya sebenarnya. Bukan kerana pasukan saya kalah, tapi mereka dapat memberikan tentangan sengit dengan sekadar mengalami kekalahan tipis dalam aksi pertembungan sebelum ini,”katanya.
Perlawanan pertama menyaksikan Betong FA mengalami kekalahan 3-1 ke atas Sri Aman FA, diikuti kekalahan 2-1 menentang Samarahan.
Perlawanan ketiga Betong FA berjaya mengikat pasukan PDRM dengan keputusan seri.
Manakala perlawanan keempat menentang Kuching FA menyaksikan Betong kalah tipis 1-0, diikuti kekalahan kelima 1-0 menentang Serian FA.
Abang Suhordie percaya pemain telah menunjukkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa, dari awal perlawanan hingga ke perlawanan kelima setakat ini.






