MIRI: Bidang bakeri diyakini mampu membantu orang ramai yang berminat untuk menjana pendapatan selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, bidang tersebut juga berupaya mempertingkatkan status sosioekonomi orang ramai sekiranya mereka mempunyai minat yang mendalam dan semangat yang tinggi terhadapnya.
“Perniagaan produk berasaskan bakeri terbuka kepada masyarakat tanpa mengira usia, tidak kira tua atau muda, semua digalakkan untuk mengambil bahagian dalam mempelajari kraf bakeri.
“Golongan seperti suri rumah, ibu tunggal, pelajar serta mereka yang berminat dalam bidang bakeri ini boleh menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari dalam kursus bakeri untuk memulakan perniagaan sendiri dan membawa asas ekonomi kepada keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Asas Bakeri anjuran Sarawak Taiwan Graduates’ Association Miri Division bersama Miri Education Initiative Society dan Miri City Caring Association di sini baru-baru ini.
Terdahulu, seramai 70 peserta menyertai kursus tersebut yang dikendalikan oleh tiga chef bakeri, iaitu Profesor Chen Yao Ling dari Taiwan Chung Hua University serta pengasas The Twin Brothers Patisserie, Lee Jun Tak dan Lee Jun Wei.
Menurut Sebastian, Jun Tak dan Jun Wei menggunakan bahan segar tempatan untuk menghasilkan barangan jualan mereka yang sekali gus membantu mempromosikan ekonomi tempatan.






