KONFLIK di tempat kerja merupakan sesuatu yang normal dan tidak dapat dielakkan. Setiap individu mempunyai latar belakang, personaliti, nilai dan gaya komunikasi yang berbeza.
Kadangkala, perbezaan ini boleh menimbulkan salah faham, ketegangan atau pertelingkahan. Namun begitu, konflik bukanlah sesuatu yang semata-mata membawa kesan negatif.
Jika ditangani dengan bijak, konflik boleh menjadi peluang untuk belajar, berkembang dan memperbaiki hubungan di tempat kerja. Di tempat kerja, kita sering berinteraksi dengan rakan sekerja, pihak atasan dan bawahan.
Setiap individu mempunyai harapan serta cara bekerja yang tersendiri. Kadangkala, perbezaan tersebut menyebabkan ketegangan.
Sebagai contoh, seorang pekerja mungkin bekerja dengan cepat dan efisien, manakala rakan sekerja yang lain pula lebih perlahan dan berhati-hati. Jika kedua-duanya tidak memahami cara kerja masing-masing, salah faham boleh berlaku.
Konflik di tempat kerja biasanya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor utama. Antaranya ialah perbezaan personaliti dalam kalangan individu.
Setiap individu mempunyai personaliti tersendiri, sama ada bersifat ekstrovert, mudah bergaul dan terbuka ataupun introvert, pendiam serta berhati-hati.
Perbezaan cara berfikir dan berinteraksi ini boleh menimbulkan salah faham sekiranya tidak difahami dan dihormati dengan baik.
Selain itu, komunikasi yang tidak jelas juga menjadi punca konflik di tempat kerja. Arahan atau maklumat yang disampaikan secara tidak lengkap boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pekerja.
Apabila pekerja salah faham tentang tanggungjawab atau tujuan sesuatu projek, mereka mungkin mula saling menyalahkan sehingga mencetuskan ketegangan.
Di samping itu, pertindihan tugas atau tanggungjawab turut menyumbang kepada berlakunya konflik. Dalam sesebuah organisasi, terdapat keadaan apabila skop tugas tidak dijelaskan secara terperinci.
Situasi ini boleh menyebabkan dua pekerja menganggap mereka bertanggungjawab terhadap tugasan yang sama. Apabila berlaku kesilapan, masingmasing akan saling menyalahkan dan seterusnya menimbulkan perselisihan.
Tekanan kerja juga merupakan faktor yang sering mencetuskan konflik. Beban kerja yang tinggi, tarikh akhir yang ketat atau tuntutan daripada pihak atasan boleh menyebabkan emosi pekerja menjadi tegang. Individu yang berada dalam keadaan tertekan biasanya lebih mudah berasa marah atau bertindak secara defensif terhadap rakan sekerja.
Selain itu, persaingan dan perasaan cemburu di tempat kerja juga boleh menjadi punca pertelingkahan. Persaingan untuk mendapatkan kenaikan pangkat, pengiktirafan atau peluang mengendalikan projek penting kadangkala menimbulkan ketegangan dalam kalangan pekerja.
Perasaan iri hati dan cemburu boleh menyebabkan persaingan berlaku secara tidak sihat, sekali gus menjejaskan hubungan sesama rakan sekerja.
KES PSIKOLOGI KONFLIK
Konflik yang tidak ditangani dengan baik boleh memberikan kesan negatif kepada individu dan organisasi. Pekerja yang terlibat dalam konflik berisiko mengalami tekanan emosi seperti rasa cemas, marah dan putus asa.
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka sukar menumpukan perhatian terhadap tugas serta mudah terganggu oleh masalah lain di tempat kerja. Selain itu, konflik juga boleh menjejaskan produktiviti organisasi.
Banyak masa dan tenaga terpaksa digunakan untuk menyelesaikan masalah interpersonal sehingga pekerja kurang memberikan perhatian kepada tugasan sebenar. Akibatnya, kualiti kerja dan prestasi organisasi secara keseluruhan boleh merosot.
Konflik yang berpanjangan turut memberi kesan terhadap hubungan sesama rakan sekerja. Ketegangan yang berlaku boleh merosakkan kepercayaan dan kerjasama yang amat penting untuk mencapai matlamat organisasi. Hubungan yang tidak harmoni juga boleh menyebabkan suasana tempat kerja menjadi tidak selesa.
Di samping itu, pekerja yang sering terlibat dalam konflik mungkin kehilangan motivasi dan semangat untuk bekerja. Mereka boleh berasa tidak dihargai atau tidak selamat di tempat kerja sehingga menjejaskan keyakinan diri serta prestasi kerja.
Bagaimanapun, konflik yang ditangani secara bijak juga mampu memberikan manfaat. Perbezaan pandangan yang dibincangkan secara terbuka boleh meningkatkan kreativiti, memperbaiki komunikasi dan memperkukuh hubungan sesama pekerja apabila penyelesaian dicapai dengan baik.
CARA MENANGANI KONFLIK DI TEMPAT KERJA
Sebelum bertindak dalam sesuatu konflik, seseorang perlu memahami terlebih dahulu akar masalah yang berlaku. Individu perlu bertanya kepada diri sendiri tentang isu sebenar, sama ada konflik tersebut berpunca daripada salah faham atau perbezaan personaliti.
Selain itu, pihak yang terlibat serta perasaan mereka juga perlu difahami agar pendekatan yang lebih berkesan dapat dirancang. Dalam menangani konflik, seseorang perlu kekal tenang dan profesional. Tindakan yang dilakukan secara emosi atau impulsif hanya akan memburukkan keadaan.
Oleh itu, ambillah masa untuk bertenang dan berfikir sebelum bercakap. Gunakan bahasa yang sopan, jelas dan profesional kerana sikap tenang dapat membantu menyelesaikan masalah tanpa menambahkan ketegangan.
Di samping itu, kemahiran mendengar secara aktif juga amat penting. Dengarkan pandangan pihak lain tanpa memotong percakapan atau menghakimi mereka. Tunjukkan empati dengan cuba memahami perasaan dan keperluan pihak tersebut.
Mengulang kembali yang didengar juga dapat membantu memastikan pemahaman yang tepat. Komunikasi terbuka dan jelas turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik.
Pandangan perlu dijelaskan tanpa menyalahkan pihak lain. Individu boleh menggunakan ayat seperti “Saya rasa… kerana…” atau “Saya perlukan…”. Perbincangan harus difokuskan pada isu yang berlaku dan bukannya menyerang peribadi seseorang.
Komunikasi yang jelas dapat mengelakkan salah faham daripada berulang. Selain itu, penyelesaian perlu dicari secara bersama-sama melalui perbincangan yang konstruktif. Semua pihak perlu bersedia untuk bertolak ansur demi mencapai persetujuan yang dapat diterima bersama-sama.
Tindakan yang konkrit juga perlu ditetapkan supaya masalah yang sama tidak berulang pada masa hadapan. Sekiranya konflik masih gagal diselesaikan, bantuan pihak ketiga seperti pihak sumber manusia (HR), penyelia atau kaunselor organisasi boleh diperoleh.
Mereka dapat membantu memberikan pandangan yang objektif serta memudahkan proses rundingan antara pihak yang terlibat. Akhir sekali, setiap konflik yang berlaku perlu dijadikan peluang untuk belajar dan memperbaiki diri. Pengalaman tersebut boleh membantu seseorang meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan emosi dan kerja berpasukan.
Selain itu, individu juga dapat mengenal pasti kelemahan diri dan berusaha untuk menjadi lebih matang serta profesional.
KESIMPULAN
Konflik di tempat kerja merupakan sesuatu yang normal dan tidak dapat dielakkan, tetapi ia boleh diselesaikan secara bijak jika kita memahami puncanya, mengekalkan komunikasi yang terbuka dan mengurus emosi dengan baik.
Dengan pendekatan psikologi yang betul, konflik bukan sahaja dapat diselesaikan, malah boleh menjadi peluang untuk belajar, memperbaiki hubungan dan memperkukuh semangat kerja berpasukan. Kunci utama dalam menangani konflik ialah kesabaran, empati dan komunikasi yang jelas.
Dengan cara ini, suasana tempat kerja akan menjadi lebih harmoni, produktif dan selesa untuk semua pihak. Konflik bukanlah musuh, sebaliknya peluang untuk berkembang menjadi individu yang lebih matang, profesional dan mampu bekerjasama dengan baik.
• Penulis ialah Pensyarah Program Kaunseling UNIMAS.



