SABTU lalu, Wanita IKRAM Kuching berkumpul di Pejabat IKRAM Negeri Sarawak bagi sesi perkongsian yang diadakan secara berkala. Sesi kali ini dimulakan dengan bacaan mathurat dalam kumpulan besar.
Amalan ini sangat baik bagi membiasakan ahli berdoa setiap pagi dan petang untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT.
Seterusnya sesi suai kenal dijalankan bagi mewujudkan kemesraan dalam kalangan ahli yang hadir pada hari tersebut.
Sesi perkongsian juga diadakan buat para ahli untuk mengetahui kedudukan ekonomi dan pendidikan di Sarawak pada masa kini.
Perkongsian ini disampaikan oleh Dr Nurhani selaku salah seorang ahli IKRAM Kuching berkisar tentang ‘peranan dan cabaran golongan bumiputera’.
Menurutnya pelbagai peristiwa berlaku mengakibatkan pelbagai perubahan dalam landskap ekonomi di Sarawak.
Contohnya seperti COVID-19, perubahan gaji minimum dan banyak lagi.
Ada dalam kalangan rakyat Sarawak masih dalam status kemiskinan.
Pelbagai usaha pihak kerajaan dibuat untuk membantu golongan yang dimaksudkan ini.
Namun, kesedaran hendaklah bermula dari diri sendiri.
Kita janganlah leka dan lalai dengan kesenangan yang dinikmati.
Kita mesti bersedia dengan apa-apa jua kemungkinan dan menyiapkan diri serta keluarga agar boleh bertahan dan menghadapi cabaran mendatang.
Sebagai wanita dalam sesebuah keluarga, kita berperanan dalam pengurusan kewangan rumah tangga.
Selain itu, tugas mendidik dan membudayakan celik kewangan kepada anak-anak juga menjadi tugas ibu bapa itu sendiri.
Dalam komuniti pula, para wanita juga boleh bersatu padu menyumbang dengan mengusahakan perusahaan kecil yang memberikan pulangan kepada semua ahli terlibat.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada para wanita akan peranan mereka dalam isu kewangan.
Walaupun kecil, namun bermakna untuk kebaikan semua.



