TIDAK dinafikan, pada zaman sekarang, ramai yang terkesan dengan kenaikan harga barang terutama keperluan asas yang dijual di pasaran.
Ini kerana, hari demi hari, harga barangan semakin meningkat walaupun pihak yang bertanggungjawab sedar akan kesusahan rakyat perkara ini.
Amat menyedihkan apabila melihat mereka yang berumah tangga dan mempunyai bayi mengeluh di laman sosial mengatakan tidak mencukupi wang untuk membeli barang keperluan seperti susu dan ‘pampers’.
Memang benar, sebelum perkahwinan perlu merancang kewangan bersama-sama, tetapi apabila harga barang semakin meningkat, ini sudah tentu mengganggu perancangan kewangan sesebuah keluarga tersebut.
Ada antara kawan mengatakan, barangan bayi pada masa sekarang setidaknya dalam RM200 hingga RM400 kerana semuanya meningkat, berbanding zaman ibu bapa kita dahulu.
RISIKO
Katanya lagi, jika tidak dibeli barangan bayi, tentunya mendatangkan lebih banyak risiko kerana bayi bukan seperti kita yang sudah dewasa.
Mereka memerlukan barangan yang selesa dan sesuai kerana faktor umur mereka.
Sebagai ibu bapa, keselesaan dan kebajikan anak mesti diutamakan walaupun masalah kewangan yang mendesak.
Namun, perlu bijak menangani masalah tersebut, dan mungkin perlu mengurangkan kehendak dan mengutamakan keperluan.
JUALAN RAHMAH
Bukan itu sahaja, apabila diadakan jualan rahmah di sesebuah kawasan, kita dapat melihat ramai yang turut membeli tidak kira penjawat awam atau semesta kerana semua terkesan dengan kenaikan harga barangan sekarang.
Seperti bulan lalu, jualan rahmah diadakan di Mukah dan ia bermula 10 pagi, namun sebelum jam tersebut, sudah ramai yang berbaris di luar pasar raya untuk mendapatkan barangan dengan harga lebih murah berbanding biasa.
Jualan rahmah yang diadakan merangkumi jualan keperluan asas seperti telur, gula, minyak dan banyak lagi barangan lain dengan potongan harga 30 peratus berbanding harga biasa.
Ramai penduduk Mukah tidak melepaskan peluang membeli semasa jualan rahmah ini diadakan.
Rata-rata penduduk di sini menyambut baik Progam Jualan Rahmah ini kerana ia dapat membantu meringankan beban kewangan dan memberi peluang membeli barang keperluan dengan harga lebih murah.
Pada tahun lalu, saya pernah membaca di laman sosial berkaitan kepentingan menabung dan menyimpan wang disebabkan ekonomi negara semakin meningkat dan pada tahun ini, saya menyedari lama-kelamaan, ramai yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
Mungkin ramai mengatakan, orang bujang tidak perlu risau dengan kenaikan harga barangan sekarang, tapi saya berpendapat ia tidak benar kerana golongan bujang juga perlu menyara kehidupannya dan keluarga.
Walaupun ramai pihak yang terkesan dengan ekonomi sekarang, semua perlu mempunyai inisiatif sendiri menyelesaikannya seperti mengutamakan keperluan dan mengetepikan kehendak.
Sebagai anak muda, saya mengakui banyak kehendak yang ingin dipenuhi tetapi apabila melihat keadaan sekeliling, perlu beringat selalu dan mengambil berat akan peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’ dan tidak terikut dengan gaya hidup orang lain.
Oleh itu, disebabkan harga barangan semakin meningkat, kita sebagai rakyat perlu bijak berbelanja dan tidak meletakkan harapan tinggi kepada pihak kerajaan untuk menurunkan harga barang terutama barangan keperluan.